Home Semasa Sultan Selangor gantung darjah kebesaran Najib, Rosmah

Sultan Selangor gantung darjah kebesaran Najib, Rosmah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengantung sementara darjah kebesaran yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, penggantungan itu bagi menjunjung titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta hasil perbincangan bersama Dewan di-Raja Selangor.

Pada 2004 Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992, jelas Mohd Amin.

“Beliau telah didakwa di mahkamah di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran S.P.M.S dan D.P.M.S adalah digantung berkuatkuasa 6 Mei 2019 sehingga kes perbicaraan dan rayuan (jika ada) yang melibatkan beliau selesai di mahkamah.

“Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Selangor ini akan disemak semula selepas kes dimuktamadkan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala Rosmah, pada tahun 2005 telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

“Beliau telah didakwa di mahkamah di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes rasuah, pengubahan wang haram dan kes Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran S.P.M.S adalah digantung berkuatkuasa 6 Mei sehingga kes perbicaraan dan rayuan yang melibatkan beliau selesai di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Menurut beliau, penggantungan darjah kebesaran Najib dan Rosmah tersebut selaras dengan kuasa Sultan Selangor di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan kontroversi yang diamalkan di negeri Selangor.

Sementera itu, bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn Bhd, Zulkifli Sharif ditarik balik keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2010.

Darjah kebesaran Zulkifli ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa 6 Mei 2019, selepas beliau diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Justeru, beliau dilarang daripada menggunakan darjah kebesaran dan gelaran Dato’ dan begitu juga mana-mana pihak lain ditegah daripada memanggil beliau menggunakan gelaran berkenaan,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply