KUALA LUMPUR, 20 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman telah menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama tujuh awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam kerana menceroboh perairan Terengganu dan menangkap ikan di perairan tersebut.
Bot terbabit ditahan ketika kapal ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan OP Iman di sekitar perairan Terengganu berjaya mengesan sebuah bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata kesemua nelayan yang berusia 22 hingga 51 tahun itu ditahan pada jam 9.25 pagi Khamis.
Menurut Rashidilhadi ketika ditahan kesemua mereka sedang menangkap ikan dengan menggunakan rawai pada kedudukan 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Jelasnya hasil pemeriksaan lanjut kesemua nelayan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala bot tersebut tiada permit kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara.
Rashidilhadi berkata hasil rampasan dianggarkan RM400,000 termasuk hasil tangkapan, bot serta peralatan menangkap ikan.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.