PULAU PINANG, 20 Jan- Seorang pemandu lori telah ditahan polis setelah didapati menampar pipi kiri seorang doktor di Jabatan Kecemasan, Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang, berkata suspek bertindak agresif kerana doktor tersebut enggan memberi cuti sakit kepada isteri suspek selepas mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital berkenaan kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Susulan kejadian itu, doktor berkenaan membuat laporan polis dan pihaknya berjaya menahan lelaki berusia 38 tahun itu di Datuk Keramat, di George Town, kira-kira pukul 2.22 pagi.
“Suspek yang mempunyai dua rekod lampau pada 2013 itu ditahan apabila ujian air kencing mendapati suspek positif dadah sejurus laporan dibuat oleh mangsa,” katanya di sini hari ini.