Home Semasa Inkues Adib: 30 saksi termasuk enam pakar dipanggil beri keterangan

Inkues Adib: 30 saksi termasuk enam pakar dipanggil beri keterangan

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 18 Jan – Prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terbunuh akibat rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, dekat sini ditetapkan bermula 11 Februari depan.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner, menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes hari ini.

Beliau menetapkan 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.

Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah bahawa seramai 30 saksi termasuk enam doktor dan pakar forensik akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding itu.

“Saksi-saksi ini banyak melibatkan kepakaran dan teknikaliti, justeru bagi memudahkan pihak-pihak, pegawai pengendali perlu menyediakan pernyataan saksi,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Sehingga hari ini polis menahan lebih 30 individu bagi membantu siasatan.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply