Home SemasaGlobal AS cadang Tebing Barat negara Palestin

AS cadang Tebing Barat negara Palestin

by Noor Sheila Amin

BAITULMAQDIS, 18 Jan – Sebuah saluran televisyen Israel berkata semalam, pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan mencadangkan sebuah negara Palestin sebanyak 90 peratus daripada kawasan diduduki di Tebing Barat dengan ibu kotanya di Timur Baitulmaqdis.

Namun pelan itu tidak memasukkan tapak suci Yahudi, Muslim dan Kristian di Kota Lama.

Menerusi laporan berita dari Reuters, Rumah Putih yang merahsiakan butiran pelan itu berkata, pendedahannya mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi, menolak laporan saluran televisyen Israel Reshet 13 TV itu sebagai spekulasi tidak tepat.

Memetik sumber yang diberi taklimat oleh AS, laporan televisyen itu berkata, pelan berkenaan akan membabitkan blok penempatan diduduki Yahudi di Tebing Barat sementara penempatan terpencil sama ada dikosongkan atau pembinaannya dihentikan.

Trump mahu cadangan perpindahan Israel itu dibantu oleh pertukaran wilayah dengan Palestin sementara Kota Lama Timur Baitulmaqdis, tapak suci Yahudi, Muslim dan Kristian, di bawah pentadbiran Israel namun dengan pengurusan bersama oleh Palestin dan Jordan, kata laporan.

Ia berkata, ‘majoriti kejiranan Arab’ di Timur Baitulmaqdis akan diletakkan di bawah pentadbiran Palestin sebagai ibu negara akan datangnya.

Israel mendakwa keseluruhan Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota abadi dan tidak berbelah bahagi’, status tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Palestin mahukan Timur Baitulmaqdis termasuk perkarangan Masjid Al Aqsa di Kota Lama, sebagai ibu kota akan datangnya.

Laporan itu tidak menyebut nasib pelarian Palestin, satu lagi pertelingkahan utama dalam konflik berdekad lamanya atau bagaimana Semenanjung Gaza, yang dikawal Hamas yang menentang perdamaian dengan Israel, dimasukkan ke dalam perancangan itu.

Pihak berkuasa Israel dan Palestin tidak memberi maklum balas terhadap laporan Reshet 13 itu.

Wakil damai Asia Barat Trump, Jason Greenblatt, perancang utama pelan itu bersama menantunya, Jared Kushner berkata dalam mesej di Twitter, laporan itu ‘tidak tepat’ namun tidak memperincikan apa yang tidak benar.

Related Articles

Leave a Reply