Home Politik Anwar Ibrahim: Tiada tolak ansur kepada mereka yang melanggar disiplin parti

Anwar Ibrahim: Tiada tolak ansur kepada mereka yang melanggar disiplin parti

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jan- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan kepada semua ahli politik supaya tidak melanggar peraturan dan disiplin parti yang sering diamalkan sejak dahulu lagi. Beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya perkara itu berlaku dan semua ahli parti harus akur dengan asas perjuangan PKR sejak ia ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

“Saya beri peringatan mesti ada disiplin dalam parti. Tetapi jika ada anggota parti yang melanggar displin, saya minta ia dihentikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam yang dianjurkan bagi meraikan pemilihannya sebagai Presiden PKR di Shah Alam, malam tadi.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui media selepas majlis turut bersetuju dengan cadangan Bersih 2.0 supaya undang-undang pilihan raya dipinda supaya setiap menteri persekutuan tidak dibenarkan menggunakan jentera kerajaan.

“Saya setuju, sekarang ini arahan menteri tak boleh kempen, macam yang berlaku pada Port Dickson (Pilihan Raya Kecil Port Dickson). “Itu memang kita buat dan seharusnya dicontohi semua menteri,” katanya.

Anwar berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan diberikan Senator Bob Manolan Mohamad baru-baru ini yang dikatakan mengugut tidak membayar gaji Tok Batin Orang Asli sekiranya tidak menyokong kerajaan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, pemimpin PKR juga diingat supaya tidak mendabik dada dan takbur dengan pangkat dan kuasa diberikan pada masa kini.

“Saya berharap kita semua sebagai anggota Keadilan, mengingati kembali Deklarasi Permatang Pauh, menghayati kembali dasar dan perjuangan kita dalam memperjuangkan agenda reformasi.

“Dengarlah nasihat dan rintihan rakyat di luar sana yang mahukan perubahan, janganlah kita ulangi sikap pemerintah dahulu yang akhirnya membawa kepada kejatuhan rejim,” katanya.

“Kitalah yang mendidik rakyat celik politik, menyedarkan hak mereka untuk bersuara dan mempertahankan hak mereka.

“Jadi kalau kita tidak ‘perform’, kuasa rakyat akan menentukan di mana kita lima tahun akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar; Menteri Kerja Raya, Baru Bian serta Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari.

Related Articles

Leave a Reply