Home Semasa APMM rampas syabu bernilai RM3.4 juta

APMM rampas syabu bernilai RM3.4 juta

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 10 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 23 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3.4 juta oleh dua nelayan tempatan semalam.

Sinar Harian memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Datuk Mohd Zubil Mat Som yang berkata, cubaaan itu berjaya dipatahkan kira-kira jam 7.30 pagi dalam operasi khas yang dijalankan selepas menerima maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan dadah.

Beliau menambah, tangkapan itu susulan daripada perancangan operasi melalui maklumat risikan berkenaan aktiviti penyeludupan dadah.

“Hasilnya, kita berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran yang keluar dari Jeti Nelayan Sungai Belankan, Tanjung Rhu bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek berusia 27 dan 31 tahun itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia selepas mengejar bot dinaiki kedua-dua lelaki warga tempatan itu pada jarak 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Selangor, hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit menemui sebuah guni mengandungi dadah yang disimpan dalam tong ikan berwarna jingga.

Kedua-dua nelayan tersebut yang dipercayai berada dibawah pengaruh dadah cuba bertindak agresif terhadap penguat kuasa ketika operasi dijalankan.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai jika disabit kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada mereka ini didalangi oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Kita akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat rangkaian sindiket dadah ini,” ujar  Mohd Zubil.

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply