KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ketua Negara baharu Malaysia akan diketahui pada 24 Jan ini selepas Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 daripada kalangan raja-raja Melayu.
Penetapan tarikh mesyuarat khas Majlis Raja-raja itu bagi melantik Ketua Negara dicapai menerusi mesyuarat khas yang diadakan di Istana Negara semalam yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja.
Mesyuarat khas itu semalam dihadiri Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata Majlis Raja-raja semalam turut menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Raja-raja yang hadir dalam perjumpaan semalam turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa semalam.
“Raja-raja turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Sultan Muhammad memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari lalu,” kata Syed Danial.