Home Semasa Mansuh tol motor Linkedua: Hadiah ‘tahun baru’

Mansuh tol motor Linkedua: Hadiah ‘tahun baru’

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 1 Jan – Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dekat Gelang Patah, di Iskandar Puteri, memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan tersebut secara harian.

Anuar  berkata pemansuhan yang bermula tengah malam tadi sememangnya menjadi berita gembira khususnya buat mereka yang berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura sekali gus menjadi hadiah ‘tahun baru’ yang cukup bermakna dalam mengurangkan kos sara hidup.

“Dengan ketiadaan kutipan tol bagi motosikal mulai 1 Januari, kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan plaza tol ini secara harian akan mendapat manfaat jangka panjang.

“Mereka juga akan mendapat penjimatan kos di antara RM24.20 sehingga RM66 sebulan berdasarkan kiraan hari bekerja purata 22 hari atau 30 hari sebulan,” katanya berucap pada majlis pemansuhan kutipan tol tersebut, di Plaza Tol Tanjung Kupang, Linkedua, di Gelang Patah, di Johor malam tadi.

Mohd Anuar berkata pemansuhan tol bagi motosikal berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, 2 November lepas selaras komitmen kerajaan mengurangkan kos sara diri rakyat.

Menurut beliau, dengan pemansuhan itu, pengguna motosikal akan menikmati laluan tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Selain itu, tol bagi laluan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah turut dimansuhkan berkuatkuasa tengah malam tadi.

Pemansuhan bayaran tol bagi motosikal itu memberi manfaat kepada hampir 20,000 pengguna lebuh raya yang menggunakan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan 2,000 pengguna di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang menggunakan laluan tol berkenaan setiap hari.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!