Home Semasa Tempoh gantung aktiviti perlombongan bauksit Pahang dilanjutkan hingga Mac 2019

Tempoh gantung aktiviti perlombongan bauksit Pahang dilanjutkan hingga Mac 2019

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 31 Dis –  Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli hari ini memaklumkan tempoh moratorium keatas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang yang berakhir pada 31 Disember 2018 telah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2019.

Perkara tersebut disampaikan oleh pihak kementerian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.

Moratorium atau penggantungan sebarang aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri itu hanya akan ditarik balik selepas Prosedur Kendalian Standard (SOP) yang baharu diperkenalkan.

Perkara tersebut telah dipersetujui dalam pertemuan antara Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar  dengan Menteri Besar Pahang, Dato Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail.

“SOP baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit telahpun disediakan oleh suatu Task Force yang diwujudkan bersama melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Selain daripada itu,moratorium tersebut juga perlu bagi memberi laluan terhadap pengosongan stockpile bauksit dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman,” jelas pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Walaupun begitu, pihak kementerian turut mendedahkan bahawa aktiviti pengosongan stockpile dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman masih belum berlaku berdasarkan laporan pemantauan yang diterima pada 21 Disember lalu

Pada masa yang sama, pihak kementerian menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak dibenarkan untuk menjalankan apa-apa kerja perlombongan bauksit di Pahang sehinggalah perintah tersebut ditarik balik.

 

Related Articles

Leave a Reply