Home Semasa Penasihat G3 akan dibawa ke mahkamah esok

Penasihat G3 akan dibawa ke mahkamah esok

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Penasihat Gagasan Tiga Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah akan dibawa ke Mahkamah Klang pada pukul 9 pagi esok bagi mendapatkan perintah reman.

Azwanddin yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) telah ditahan oleh polis pada jam 2.40 petang di Kompleks Keramat Mall hari ini.

Berita penahanan beliau telah disahkan oleh Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh.

Menurut  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, Datuk Azwanddin telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (kerana melakukan ugutan jenayah)

“Memandangkan siasatan lanjut perlu diteruskan atas ugutan untuk serang balai polis, beliau akan direman di Mahkamah Klang jam 9.00 pagi esok.

“Disamping itu beliau juga akan disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat penghinaan ke atas individu,”  jelas Fadzil.

Hari ini, NSTP telah melaporkan Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, tidak ditangkap.

Azwanddin turut dilaporkan menggunakan perkataan ‘pariah’ yang didakwa oleh sebuah portal yang merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Kejadian tersebut berlaku semasa himpunan aman anjuran Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) pada petang semalam.

Related Articles

Leave a Reply