Home Semasa Keamanan yang dikecapi negara harus dipertahankan – Mohamad Sabu

Keamanan yang dikecapi negara harus dipertahankan – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberi peringatan bahawa keamanan yang dikecapi negara ketika ini harus dipertahankan rakyat dengan tidak mewujudkan perseteruan dan mengapi-apikan isu agama serta perkauman secara melampau.

Memetik laporan portal Berita Harian, Mohamad mahu rakyat sedar api pergaduhan akan sukar ditangani dan mengambil masa yang panjang untuk dipadam jika tercetus atau dimainkan.

“Kita kena jaga hal keamanan, perkara sensitif yang ditiupkan, tapis beritanya. Jangan terjebak dengan sebarang perseteruan fizikal sebab jika berlaku, ia memang mudah dibakar, jadi pergaduhan satu negara, tapi nak padam bukan senang.

“Sejak komunis memeterai janji meletak senjata dan berdamai, negara kita dalam keadaan aman dan tenteram. Jangan kita menggamit perseteruan baharu, terutama dalam hal keagamaan dan perkauman melampau.

“Jika ada perbezaan, cari jalan penyelesaian, berunding, bercakap dan berdialog, tapi jangan sampai ke peringkat pertarungan fizikal,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Ke-52 di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Liew Chin Tong, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengerusi PERHEBAT, Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim.

Mohamad berkata, rakyat harus mengambil iktibar daripada krisis dan peperangan panjang yang berlaku di luar negara seperti konflik di Somalia, Libya, Syria serta Iraq sehingga menjejaskan kehidupan rakyat kerana tidak wujud keamanan.

“Pelabur tidak akan masuk ke negara yang mengalami konflik. Untuk pulihkan ekonomi kena pulihkan keamanan terlebih dahulu. Sebab itu kita jangan terjebak dengan pertelingkahan fizikal,” katanya.

Beliau turut mengakui penghargaan diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran setakat ini belum memadai dan harus dipertingkatkan sebagai usaha mengenang perjuangan mereka.

Sementara itu, Mohamad ketika membacakan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan mahu syarikat swasta mengutamakan pesara tentera dan anak mereka yang berkelayakan dari segi penempatan pekerjaan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

“Situasi ekonomi negara ketika ini agak mencabar. Keupayaan kerajaan memberikan peruntukan agak terhad. Saya berpendapat kolaborasi PERHEBAT bersama syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu menanganinya.

“Diharap pihak swasta sensitif dan proaktif membantu kerajaan dalam program membela kebajikan bakal pesara dan veteran ATM,” katanya.

Perdana Menteri, katanya, turut mahu Program Penempatan Pekerjaan membantu pembangunan kerjaya veteran tentera dan anak mereka.

Katanya, ia termasuk tawaran bekerja dalam latihan (OJT) untuk bakal pesara di samping memperluaskan kepada anak mereka peluang pekerjaan mengikut bidang pengajian mereka.

“Inilah platform terbaik untuk syarikat swasta membantu kerajaan dan menghargai jasa pengorbanan tentera.

“Marilah kita bersama-sama membentuk negara berpendapatan tinggi sekali gus mengembalikan status Malaysia sebagai ‘harimau Asia’,” katanya

Related Articles

Leave a Reply