Home PolitikBarisan Nasional Mesyuarat KT perlu disegerakan – Hishammudin

Mesyuarat KT perlu disegerakan – Hishammudin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu segera diadakan bagi menentukan hala tuju kempimpinan ketika UMNO berdepan saat genting.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menggesa kepemimpinan tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat terbabit  bagi menyelesaikan krisis dalam parti dengan segera.

“Dalam situasi yang penuh tidak ketentuan dan kebimbangan, saya menggesa kepimpinan tertinggi UMNO untuk segera memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Jaminan harus diberi kepada akar umbi di setiap peringkat. Apakah langkah dan ketetapan kepimpinan dalam mengurus krisis parti. Jangan berlengah, akar umbi mengharap!,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau merujuk desakan dalaman dan luar UMNO yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dalam tempoh masa 10 hari.

Krisis dalaman UMNO memuncak apabila bekas enam Ahli Parlimen UMNO mendesak Zahid meletak jawatan kerana gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden walaupun UMNO sedang menghadapi masalah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ahli dan rakyat khususnya orang Melayu.

Mengulas dakwaan pertemuan rahsia melobi pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, Hishammuddin menafikan berita itu.

“Tiada pertemuan rahsia dengan Azmin Ali. Beliau kawan rapat saya sudah 30 tahun. Kami sentiasa berjumpa. Semua orang tahu hal itu,” katanya dalam status yang dimuat naik di Twitter.

 

Related Articles

Leave a Reply