Home PolitikPakatan Harapan Anwar akui nama Rafizi dibangkit sebagai calon PRK DUN Rantau

Anwar akui nama Rafizi dibangkit sebagai calon PRK DUN Rantau

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 17 Nov – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui nama Ketua Cabang Pandan, Mohd Rafizi Ramli dibangkitkan sebagai calon Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau.

Anwar berkata namun begitu katanya, Mohd Rafizi jauh lebih layak daripada bertanding jawatan berkenaan.

“Beliau sebagai ADUN? Saya pasti beliau lebih layak daripada itu. Namun ada nama Rafizi dibangkitkan (sebagai calon),” katanya pada sidang media selepas perasmian Kongres Nasional PKR 2018 di sini hari ini.

Mahkamah Khas Pilihan Raya semalam memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dun Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta merta.

Sebelum ini Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Anwar berkata tidak mustahil untuk calon asal, Dr Streram diganti dengan calon lain mengikut proses sepatutnya dan diputuskan kepimpinan parti.

“Prosesnya (cadangan calon) dari cabang, kemudian negeri ke Biro Politik dan ke Presiden. Pada masa itu, dibincang dan keputusan akan dibuat, tiada yang pasti buat masa sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai siasatan terhadap dakwaan adanya politik wang dan sabotaj terhadap sistem ‘e-undi’ ketika pemilihan parti itu, Anwar berkata siasatan tersebut masih berjalan.

Katanya beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap semua dakwaan berkenaan.

“Parti tidak akan berhenti menyiasat kerana anggota dan pemimpin yang membuat laporan itu. Apa yang penting ialah MCMC meneliti keseluruhan proses pemilihan dalam bentuk of e-undi, bagaimana undi hilang, ini yang harus disiasat oleh MCMC.

“SPRM perlu menyiasat 40, 50 laporan dan ini termasuk laporan polis,kita akan beri kerjasama penuh ” katanya.

Dalam pada itu Anwar menasihatkan calon supaya menerima keputusan pemilihan dengan hati terbuka kerana kepimpinan parti telah membuat keputusan untuk menerima keputusan berkenaan walaupun terdapat beberapa permintaan mengadakan semula pemilihan di beberapa cabang di Sabah dan Sarawak.

“Mengenai kes Julau and Tawau (cabang), cadangan saya kita teruskan dan terima keputusan yang diambil. Saya mengaku ada kelemahan dan keterbatasan yang serius, saya akui, tetapi kepimpinan parti menerima dan kita harus teruskan kerana jika tidak kita harus sekali lagi melalui proses pemilihan selama tiga bulan,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply