Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Malaysia, Brunei tingkat kerjasama pertahanan

Malaysia, Brunei tingkat kerjasama pertahanan

by Air Times News Network

KOTA BELUD, 24 Okt – Latihan bilateral antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) mampu memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam mempertingkatkan strategi pertahanan tentera antara kedua-dua negara.

Panglima TDM Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, hubungan erat yang sekian lama terjalin membolehkan integrasi pergerakan anggota tentera kedua-dua negara dapat dilaksanakan secara strategik menerusi pengemaskinian latihan ketenteraan bersama khususnya dalam tembakan mortar.

“Tujuan eksesais ini adalah melatih dan memahirkan anggota tentera kedua-dua negara dalam perancangan dan pelaksanaan tembakan bersama.

“Kekuatan pertahanan kita dapat diperbaiki dengan kekerapan latihan yang kita lakukan. Setiap kelemahan yang ada hanya dapat diperbaiki menerusi perkembangan latihan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Latihan Mertak Bersatu TDM dan TDDB di lapang sasar Kem Paradise, dekat sini hari ini.

Beliau berkata latihan selama 10 hari hingga Jumaat ini bertujuan untuk memahirkan pengendalian senjata 81mm Mortar oleh kedua-dua pihak, selain memberi pendedahan pada rancangan tembakan menggunakan senjata berkenaan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply