Home Semasa Tentera maut elak kerbau

Tentera maut elak kerbau

by Noor Sheila Amin

KUALA BERANG, 11 Sep – Tentera maut empat rakannya cedera hari ini di Kilometer 409.7, Lebuhraya Pantai Timur II (LPT2) dekat Kuala Berang, berhampiran susur keluar Ajil-Telemong selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan ketika mengelak kerbau.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu kemalangan telah mengorbankan mangsa, Nur Shahrul Romli, 21, yang parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang juga anggota tentera di Markas Tentera Darat, Kementah, Kuala Lumpur bersama empat rakan yang juga anggota tentera dalam perjalanan pulang bercuti ke Kelantan.

Beliau berkata, mereka bertolak dari Kem Sirajuddin Negeri Sembilan sebelum kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika mengelak kerbau di lokasi kejadian.

“Mangsa yang terkejut dengan kehadiran kerbau itu cuba mengelak menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan,” katanya.

Mohd Adli berkata, penumpang yang cedera ialah Mohd Fazrin Mohd Aini, 23, Muhammad Aiman Abd Wahab, 21, Wan Muhammad Firdaus Wan Yahya, 21, dan Muhamad Hasnu Nawawi, 22.

“Mayat Nur Shahrul Romli dihantar ke hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat, dan mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan, katanya.

Related Articles

Leave a Reply