Home Pertahanan dan Keselamatan Raptai Perarakan Panji-Panji berjalan lancar

Raptai Perarakan Panji-Panji berjalan lancar

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 10 Sept – Raptai penuh Perarakan Panji-Panji sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini hari ini berjalan lancar.

Seramai 28 pegawai dan 550 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Mohd Radzi Othman mengambil bahagian sebelum acara kemuncak berlangsung Rabu ini.

Turut hadir menyaksikan raptai penuh hari ini Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Persiapan dan latihan sempena istiadat ini bermula 3 Sept hingga hari ini.

Antara acara istiadat lain pada Rabu ini ialah tembakan kehormatan 21 das yang akan disempurnakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja serta formasi terbang lintas hormat lima buah pesawat helikopter yang membawa Jalur Gemilang dari ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menghadiri istiadat perarakan panji-panji.

Istiadat mengarak panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah bagi ATM terhadap raja dan negara.

Dijangka 1,500 pengunjung akan menghadiri istiadat tahunan pada Rabu ini. -BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply