Home Semasa Kem Askar Wataniah Politeknik medan uji ilmu ketenteraan

Kem Askar Wataniah Politeknik medan uji ilmu ketenteraan

by Air Times News Network

PORT DICKSON, 11 Sept – Kem Tahunan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MALPTAAC) menjadi medan terbaik menguji tahap kesiapsiagaan serta mempraktikkan pelbagai cabang ilmu ketenteraan dan awam kepada anggotanya.

Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya berkata perkhemahan tahunan itu juga akan menguji ketahanan mental dan fizikal di samping memberi cabaran yang harus dilalui setiap anggota yang terpilih.

“Perkhemahan yang berlangsung selama dua minggu bermula semalam di Politeknik Port Dickson itu melibatkan pelajar dan kakitangan politeknik seramai 1,000 anggota dari 15 politeknik seluruh negara.

“Lima belas pasukan ini akan berkampung di sini menjalani latihan serta aktiviti ala tentera yang lasak hasil tunjuk ajar dari Rejimen siri 500 Askar Wataniah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian MALPTAAC yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohammad Naim Yaakub, hari ini.

Roslee berkata bagi sistem Pendidikan Negara, kegiatan seumpama itu adalah pelan tindakan mentransformasikan politeknik agar menjadi satu ‘angkatan berspektrum penuh’ yang versatil, boleh dipercayai di samping melahirkan pelajar seimbang.

“Program kolaborasi dengan Kementerian Pertahanan ini juga merupakan salah satu program berimpak tinggi yang memberi nilai tambah kepada peserta dari aspek ilmu serta pengalaman yang boleh ditimba dari pelbagai pihak terlibat sama ada dalam penganjuran program peringkat kebangsaan.

“Ia juga sekali gus membolehkan kita sama-sama memikul tanggungjawab menjaga keamanan negara bersama pasukan keselamatan kita,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Naim berkata sejak MALPTAAC diperkenalkan pada 1999, sebanyak 6,000 anggota pasukan Askar Wataniah yang terdiri daripada pelajar politeknik dilatih. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply