MANILA 22 Jul – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dijangka akan mengadakan lawatan rasmi ke Israel selama 2 hari pada September ini. Walaupun begitu, Presiden Filipina tidak akan bertemu dengan sebarang wakil kerajaan Palestin.
Media Israel menyifatkan lawatan Duterte adalah lawatan bersejarah dan merupakan lawatan pertama ketua negara dari negara kepulauan itu ke Israel. Media Israel turut menyifatkan Filipina sebagai negara pro Israel dari segi diplomatik dan juga undian di PBB.
Antara isu yang akan dibincangkan antara Tel Aviv-Manila adalah kerjasama antara kedua-dua negara, kerjasama dalam menangani isu penyeludupan dadah, kerjasama pertanian dan juga isu keselamatan serta pertahanan.
Lawatan Duterte ke Tel Aviv dijangka akan memadamkan kontroversi Duterte yang pernah menyifatkan kempen beliau untuk memerangi dadah setanding dengan pembunuhan beramai-ramai masyarakat Yahudi oleh Adolf Hitler.
Kenyataan yang dibuat pada tahun 2016 itu telah mengejutkan dunia dan Duterte terpaksa memohon maaf dan melakukan lawatan khas ke rumah ibadat Yahudi di Beit Yaakov Synagogue, Manila.