Calon Presiden Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pemimpin Umno perlu terbuka untuk menerima idea baharu agar budaya profesionalisme akan menjadi budaya parti.

Menurutnya, beliau merasakan ada keperluan untuk melihat kemungkinan mengasingkan peranan antara golongan yang bertanggungjawab menguruskan parti dan mereka yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan.

“Ini kerana kita memerlukan mereka yang layak untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan untuk memberi fokus penuh kepada usaha sedemikian dan mereka yang bertanggungjawab menguruskan parti perlu dilatih untuk menjaga parti dengan baik,” kata Tengku Razaleigh selepas menyertai Debat Presiden Umno yang disiar secara langsung, malam tadi.

Katanya, jika peranan ini diasingkan, sudah pasti akan ada pembaikan kepada urus tadbir kerana tiada pihak yang menyalahgunakan kuasa dalam parti untuk mendapatkan sesuatu di peringkat kerajaan.

“Buat masa ini, saya belum lagi mencadangkannya untuk dipraktikkan Umno. Namun, pandangan saya, adalah lebih baik untuk peranan dalam parti dan kerajaan diasingkan,” katanya.