Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, polis hanya hadir untuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rakam percakapan polis bantuan di kondominium berkenaan.

“Kita ada menerima laporan polis oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Balai Polis Dang Wangi berkenaan pergerakan mencurigakan beberapa individu yang cuba melarikan barangan bernilai lebih RM200, 000 milik isteri kepada bekas Perdana Menteri dari kondominium berkenaan.

“Susulan laporan itu, kita pergi ke lokasi untuk melakukan proses siasatan dan bukannya melakukan serbuan seperti yang didakwa agensi berita berkenaan,” katanya hari ini.

Menurut Mazlan, apa yang dilaporkan agensi berita berkenaan mengenai kehadiran 20 anggota polis yang melakukan serbuan adalah satu laporan palsu.

Ujarnya, dia juga tidak mengetahui siapa pegawai kanan polis yang memberi kenyataan seperti yang dilaporkan.

Dalam pada itu, pengawal keselamatan kondominium berkenaan ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, memang terdapat anggota polis yang hadir petang semalam untuk bertemu pengurusan kondominium.

Namun, dia tidak tahu apa tujuan sebenar anggota polis tersebut  hadir ke kondominium itu.