Home PolitikBarisan Nasional Proses pengundian lembab di Pulau Pinang – Teng Chang Yeow

Proses pengundian lembab di Pulau Pinang – Teng Chang Yeow

by Nurulhuda

GEORGE TOWN – Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, menegur SPR berhubung dakwaan sebagai kelemahan dalam mengendalikan PRU14.

Calon BN bagi kerusi negeri Tanjong Bungah itu berkata, pengundian berjalan sangat  perlahan, terutama di Parlimen Bukit Bendera, dikendalikan staf Pejabat Tanah Daerah Timur Laut.

“Di dewan atau saluran tertentu, hanya seorang pemilih membuat pengundian pada satu-satu masa, walauapun dua petak mengundi disediakan dan saya rasa terdapat terlalu banyak pegawai baharu yang mengendalikan tempat itu,” katanya selepas mengundi di pusat pengundian di Cawangan Sekolah Kebangsaan St Xavier di sini.

Beliau berkata, walaupun banyak pemilih hadir pada sebelah pagi, tetapi mereka diminta beratur dalam satu barisan dan itulah yang menyebabkan barisan menjadi begitu panjang serta memaksa sesetengah pemilih berdiri dalam panas terik.

Teng, yang juga pengerusi Gerakan Pulau Pinang, menggesa pihak berkuasa menyiasat panggilan telefon palsu yang dilapor diterima banyak pemimpin politik dan calon.

“Pihak berkuasa perlu siasat apa yang berlaku itu. Kenapa ia berlaku khususnya ketika ini?” katanya.

Teng mendakwa, beliau juga menerima panggilan seperti itu petang semalam, tetapi tidak menjawabnya kerana nombor yang tidak dikenali itu ketara berasal dari luar negara.

“Saya sering mendapat panggilan telefon seperti itu, tetapi kami tidak menjangka ia berlaku semasa pilihan raya,” katanya.

Teng berdepan dengan calon DAP Zairil Khir Johari, Chua Cheong Wee daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Lee Zheng Yong daripada Parti Bersatu Malaysia dalam pertandingan empat penjuru bagi kerusi Tanjong Bungah.

Related Articles

Leave a Reply