KUALA LUMPUR, 28 Apr – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyeru semua calon BN yang telah dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk lebih fokus dan memberi sepenuh tumpuan terhadap gerak kerja parti sehingga hari pembuangan undi pada 9 Mei nanti.
Megat Zulkarnain juga mengharapkan agar semua calon BN untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
‘Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong BN yang telah datang seawal jam 7 pagi, yang melibatkan semua komponen parti’, jelas beliau kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon N.17 Gombak Setia di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasu dekat sini hari ini.
Beliau menjelaskan sokongan mereka ini membuktikan sebagai tanda semangat yang tidak berbelah bagi dan tanda setia kawan terhadap parti BN.
‘Kita takda masaalah, mereka yang berpecah belah, biarkan mereka dengan masalah mereka’, katanya lagi.
‘Yang penting kita fokus, berikan tumpuan kepada kerja kita, dan berikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,’ ujarnya Megat Zulkarnain.
“InsyaAllah, percayalah 9 Mei ini, rakyat di kawasan parlimen Gombak dan ketiga-tiga Dun akan kembali memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pertandingan 3 penjuru di Parlimen Gombak, melibatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, calon Barisan Nasional Datuk Abdul Rahim Pandak Kamaruddin dan calon PAS Khairil Nizam Khirudin di SMK, Sungai Pasu Batu 7 Gombak pagi tadi.
Di peringkat DUN pula, Sungai Tua menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Amiruddin Shaari (PH), Datuk N Rawisandran (BN), Mohammad Ibrahim (PAS) dan Badrul Hisam Md Zin (bebas), sementara di Gombak Setia, calon PH Hilman Idham berdepan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN) dan Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS).
Megat Zulkarnain bakal berdepan saingan penyandang kerusi tersebut dari Pas, Hasbullah Mohd. Ridzwan dan calon gabungan pembangkang PKR, Hilman Idham.