TORONTO, 23 April – Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) negara industri mengadakan pertemuan di Toronto, semalam, bagi mencari kata sepakat berhubung isu membabitkan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Ia berikutan kebimbangan mengenai sokongan Moscow terhadap pemimpin Syria, Presiden Bashar Al-Assad dan cubaan membunuh perisik yang didakwa sebagai pembelot menggunakan agen saraf di Britain.
Mesyuarat itu diadakan menjelang sidang kemuncak G7 yang dijadualkan berlangsung Jun depan di Charlevoix, Quebec.
Sementara itu, Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland, selaku tuan rumah turut mengadakan perbincangan mengenai isu krisis di Ukraine bersama rakan sejawatannya di dalam G7 dan wakil dari Kesatuan Eropah.
Ketika ini, pemberontak yang mendapat sokongan Russia sedang menguasai timur wilayah Donbas, di Ukraine. – AFP