Taiwan, 22 Mac – Taiwan telah menghantar kapal dan pesawat bagi mengawasi kapal induk milik China, Liaoning yang memasuki perairan Selat Taiwan semalam, kata Kementerian Pertahanan Taiwan.
Kapal induk Liaoning dilaporkan berlayar memasuki kawasan perairan itu pada hari yang sama Presiden Xi Jinping memberi amaran kepada Taiwan.
Selasa lalu, Presiden China memberi amaran keras kepada Taiwan yang akan menghadapi tindak balas di luar jangkaan oleh China sekiranya Taipei cuba meneruskan usaha untuk berpisah dari China.
Isu Taiwan merupakan isu paling sensitif bagi China kerana negara terbesar Asia itu menganggap Taiwan masih lagi sebahagian daripada wilayahnya.
Armada China berlayar di kawasan perairan Selat Taiwan dan kekal berada di kawasan barat perairan itu, yang merupakan Zon Pertahanan Udara Taiwan. Pada keesokan harinya, armada tersebut beredar dari tersebut dan berlayar ke arah barat daya.
Pelayaran ini bukanlah kali pertama oleh Liaoning di perairan itu. Januari lalu, Taiwan melaporkan kapal induk Liaoning berlayar sebanyak dua kali di Selat Taiwan.
Walaupun mendapat bantahan dari Taipei, Beijing menyatakan pelayaran tersebut adalah sebahagian daripada latihan rutin.
China dilaporkan sedang mempertingkatkan latihan ketenteraan di sekitar kawasan pulau semenjak tahun lalu.
Presiden China,Xi Jinping berang dengan keputusan Donald Trump yang meluluskan rang undang-undang untuk menggalakkan hubungan dua hala ketenteraan antara Taipei dan Washington.
Pada akhir perhimpunan tahunan parlimen, Presiden Xi telah berikrar untuk menyatukan Taiwan dan China.
Dalam ucapan beliau di hadapan kira-kira 3,000 orang delegasi, Presiden Xi memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan China akan berdepan dengan kegagalan dan akan menerima padah di luar jangkaan.
Presiden Xi turut berkata, China mempunyai kekuatan, keupayaan dan keyakinan untuk menghapuskan sebarang aktiviti gerakan pemisah.