Home Semasa 48 pengundi Segamat gagal cabar kemasukan 949 nama anggota tentera dalam daftar pemilih

48 pengundi Segamat gagal cabar kemasukan 949 nama anggota tentera dalam daftar pemilih

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Seramai 48 pengundi berdaftar Parlimen Segamat di Johor hari ini gagal memperoleh kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar penggantungan kemasukan 949 nama anggota tentera dan pasangan mereka ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Ketiga 2017 kawasan itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan itu selepas memutuskan bahawa kemasukan yang telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

Peguam Michelle Ng yang mewakili 48 pengundi selaku pemohon, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah menolak permohonan mereka selepas bersetuju dengan hujahan Pejabat Peguam Negara bahawa Seksyen 9(A) Akta Pilihan Raya 1958 adalah terpakai dan perkara itu termaktub di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

“Tiada perintah untuk sebarang kos dan saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada ingin merayu terhadap keputusan hari ini,” kata peguam itu.

Pada 6 Mac lepas, kesemua responden mengemukakan bantahan awal atas alasan semua nama pengundi yang telah dimasukkan ke dalam senarai pemilih tidak boleh dicabar dan termaktub di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Kesemua pengundi yang diketuai Abdul Wahab Hassan selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 Feb lepas, bagi memohon perintah untuk membatalkan kemasukan dan pengekalan 949 nama ke dalam RDPT bersama dengan sebarang tindakan yang timbul daripada mengesahkan keputusan tersebut oleh responden, ejen, pekerja atau pegawai mereka.

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu deklarasi bahawa kemasukan dan pengekalan nama ke dalam RDPT tidak berperlembagaan dan penggantungan pengesahan 949 nama ke dalam RDPT sehingga keputusan semakan kehakiman.

Kesemua plaintif mengemukakan permohonan itu atas alasan kemasukan dan pengekalan nama-nama ke dalam RDPT adalah tidak berperlembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mendakwa siasatan awam yang dijalankan berhubung kemasukan nama terbabit jelas melanggar keadilan asasi dan tidak betul mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan kemasukan atau pengekalan nama-nama Orang Dibantah dalam RDPT adalah tidak munasabah, tidak rasional dan tidak seimbang.

Kesemua pemohon memfailkan permohonan mereka semula selepas Mahkamah Rayuan pada 21 Jan lepas membenarkan permohonan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Jan, yang memberi kebenaran kepada 48 pengundi itu untuk memulakan semakan kehakiman.

Related Articles

Leave a Reply