Okinawa – Jepun, 26 Feb 18 – Pesawat AirAsia X membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Okinawa Naha, Jepun, jam 2.59 pagi waktu tempatan hari ini (3.59 pagi waktu Malaysia), akibat kerosakan enjin.
Bagaimanapun semua 397 penumpang dan anak kapal selamat.
Sementara itu, AirAsia X dalam kenyataan, hari ini mengesahkan Penerbangan D7 523 yang berlepas dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, ke Kuala Lumpur, semalam terpaksa dilencongkan ke Okinawa, Jepun, kerana masalah teknikal.
“Pesawat selamat mendarat di Okinawa pada 2.59 pagi waktu tempatan (3.59 pagi waktu Malaysia) dan 369 penumpang serta 10 anak kapal selamat,” katanya.
Menurut kenyataan, pesawat D7 689 akan dihantar dari Kuala Lumpur untuk membawa penumpang yang terbabit pulang ke Kuala Lumpur.
“Penerbangan D7 689 dijadualkan berlepas dari Okinawa pada 930 malam ini (waktu tempatan) dan tiba di Kuala Lumpur 2 pagi esok.
“Semua bantuan yang diperlukan oleh penumpang akan disediakan selain perkembangan terkini akan disalurkan dari masa ke semasa,” katanya.
Difahamkan, enjin kanan pesawat itu mengalami masalah kira-kira 2.15 pagi waktu tempatan, memaksa kapten penerbangan mematikan enjin berkenaan sebelum mengumumkan pendaratan cemas.