Home Semasa ADAM50 galakkan kadar kelahiran tinggi – PM

ADAM50 galakkan kadar kelahiran tinggi – PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Datuk Seri Najib Razak berharap Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan menggalakkan kadar kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan negara ini sedang mencapai kematangan ekonomi.

Perdana Menteri berkata, negara yang sedang menuju kematangan ekonomi biasanya akan mengalami penurunan kadar kelahiran.

Malaysia, katanya, kini menghadapi situasi yang sama.

“Jadi, mereka yang ingin melahirkan anak, teruskan berbuat demikian, ini mesej saya kerana kita memerlukan pertambahan penduduk,” katanya pada program ‘Bajet 2018 Bersama Rakyat’ di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam program itu, pelakon dan usahawan Fizo Omar bertindak sebagai moderator dan turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pada majlis yang sama, Najib turut melancarkan ADAM50, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, serta melawat wad bersalin di pusat perubatan itu dan menyerahkan hamper kepada ibu-ibu yang baru bersalin.

Di bawah ADAM50, bayi yang lahir mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan menerima dana tabungan permulaan RM200 menerusi unit ASB (bagi Bumiputera) dan AS1M (bukan Bumiputera) selagi didaftarkan dalam tempoh setahun daripada tarikh kelahiran dan simpanan hanya boleh dikeluarkan selepas anak itu mencapai umur 18 tahun.

Najib berkata, ADAM50, dana pertama dalam sejarah negara ini juga bertujuan menggalakkan simpanan peribadi untuk ibu bapa muda.

“Sebab kita nak galakkan minda rakyat supaya menyimpan untuk masa depan. Ramai orang kita yang tidak menjangka keperluan, anak kita punya keperluan …(bila dah ada akaun) kita boleh menyumbang sikit-sikit, lama-kelamaan bila anak kita masuk universiti nanti, cukup keperluan (dari segi kewangan),” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahid ketika ditemui pemberita menjelaskan simpanan awal sebanyak RM200 di bawah ADAM50 yang diberikan kerajaan akan bertambah walaupun tiada simpanan tambahan oleh ibu bapa dibuat.

“Walaupun ibu bapa tidak tambah langsung, wang RM200 ini akan menjadi sekitar RM587, tapi kalau tambah RM10 sebulan ia akan meningkat kepada RM4,000 manakala RM50 sebulan akan jadi RM20,000 dan kalau RM100 akan jadi RM40,000 apabila umur anak ini cukup 18 tahun,” katanya.

Katanya, hingga kini, sebanyak 4,600 bayi sudah didaftarkan di bawah ADAM50, atau sebanyak 14 peratus daripada keseluruhan bayi yang didaftarkan di seluruh negara melalui Jabatan Pendaftaran Negara.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!