[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=t9_gkSaXcqA[/embedyt]
WALAUPUN hanya berdepan dengan ancaman pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tekong di dalam negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited menggalas tanggungjawab mereka terutama ketika negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.
Tanggungjawab yang diamanahkan menerusi OPERASI BENTENG (Op Benteng) adalah untuk menghalang dan menutup segala laluan tidak sah bagi mempastikan tiada kemasukan PATI dapat melepasi terutama di lorong-lorong tikus.
Buktinya semangat kesemua anggota tentera kekal utuh dengan tanggungjawab lebih berat yang dipikul iaitu amanah mengawal perbatasan negara termasuk di ruang udara dan samudera.
Anggota ATM sekarang melaksanakan tanggungjawab yang sama dengan wira-wira negara terdahulu khususnya semasa negara berhadapan dengan ancaman komunis.
Dalam mempastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara, pasukan keselamatan di kawasan operasi turut terdedah dan berdepan dengan pelbagai ancaman dari pihak-pihak yang cuba untuk melakukan jenayah rentas sempadan.
Pengalaman tersebut dikongsikan sendiri oleh anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertugas di perbatasan kepada Air Times News Network baru-baru ini.
Maklumat risikan berkenaan PATI
SARJAN MOHD IMRAN SALLEH ketika ditemui berkata, tugas untuk mencari maklumat risikan berkenaan PATI, perkampungan PATI dan penyeludupan barang-barang terlarang merupakan tanggungjawab anggota tentera di kawasan Op Benteng.
Beliau berkata, operasi ini sangat mencabar kerana melibatkan orang awam yang bertindak agresif dan sebagai Ketua Tinjau Sniper, beliau perlu menjaga keselamatan anggotanya walaupun tidak berada dilokasi yang sama.
Menerusi maklumat risikan ini, pasukannya telah berjaya menahan 2 tekong darat di sebuah felda dalam kawasan tanggungjawab (KTJ).
Setelah mendapat maklumat mengenai penampungan PATI, tim akan menuju ke lokasi untuk memeriksa dan melakukan tinjauan rapat ke sasaran sebelum membuat serbuan.
Bergelut dengan tekong
Menceritakan pengalaman ketika melaksanakan Op Benteng, Sarjan Mohd Imran menjelaskan, beliau bersama anggotanya juga tidak terlepas bertembung serta bergelut dengan tekong darat yang cuba melawan serta melarikan diri semasa ditahan.
“Semasa kami hendak melakukan tinjauan rapat ke sasaran, kami telah bertembung dengan seorang PATI dan ketika hendak menahan PATI tersebut dia (PATI) melawan serta enggan memberi kerjasama,
“Ketika kami sedang cuba untuk menahan PATI tersebut, datang sebuah kenderaan dan bergerak perlahan-lahan ke arah kami. Setibanya kami pada kenderaan tersebut, kenderaan itu berundur dengan keadaan yang melulu sehingga terbabas ke dalam parit,
“Mereka keluar daripada kereta dan terus melarikan diri. Kemudian anggota saya mengejar pemandu tersebut dan berjaya menahan seorang lelaki. Manakala seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya kepada Air Times.
Tekong cuba langgar anggota
Setelah sesi soal siasat dibuat ke atas kedua-dua suspek yang ditahan, dipercayai mereka merupakan tekong darat yang menguruskan kemasukan PATI di kawasan tersebut.
Mohd Imran berkata, semasa soal siasat terhadap kedua-dua suspek tersebut dibuat, mereka didatangi sebuah kenderaan lain dalam keadaan mencurigakan yang bergerak perlahan ke arah mereka.
“Setelah pemandu kenderaan nampak kami, dia terus melulu kenderaan tersebut kearah salah seorang anggota saya yang berada di tengah jalan,
“Tetapi anggota saya berjaya mengelak daripada berlaku pelanggaran. Anggota saya telah mengejar mereka dan berjaya menahan 2 PATI tetapi tidak berjaya menahan pemandu tersebut,
“Maklumat tersebut telah kami salurkan ke pasukan mohon bantuan daripada QRF (Quick Reaction Force),” jelasnya.
Cabaran dalam Op Benteng
Mohd Imran berkata, sepanjang perkhidmatan beliau sudah terlibat dengan pelbagai operasi bersama pasukannya dan setiap operasi mempunyai perbezaan serta cabaran mengikut jenis operasi.
Cabaran utama dalam melaksanakan operasi adalah untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 di kalangan anggota yang bertugas.
Cabaran lain adalah untuk mengenal pasti kawasan pendaratan PATI, perkampungan PATI dan tempat-tempat penyeludupan.
Beliau juga berkata, sebagai ketua tim, langkah-langkah yang lebih teliti dan proaktif perlu diambil agar anggota tidak terkena jangkitan serta ancaman dari tekong-tekong ini.
“Bagi Op Benteng ini, tim saya memainkan peranan yang besar dalam mencari dan mendapatkan maklumat berkaitan lokasi kemasukan serta kedudukan PATI. Cabaran ini banyak memberi ilmu ketenteraan yang boleh diaplikasikan di medan sebenar,” ujarnya.
Perasaan cemas dan marah
Mohd Imran juga meluahkan perasaan bangga dan semangatnya ketika dapat menahan tekong dan PATI. Ini kerana mereka boleh melakukan pembunuhan tetapi tidak boleh dipertuduhkan selagi kita tidak tangkap.
Menurut beliau, tekong sanggup bertindak apa sahaja termasuk mencederakan petugas yang sedang melaksanakan tugasan mereka.
“Semasa berlakunya pergelutan bersama tekong-tekong tersebut, perasaan saya bercampur baur antara marah, cemas dan risau,
“Pertamanya, marah terhadap apa yang tekong-tekong ini telah lakukan. Kedua, cemas sekiranya berlaku tindakan luar jangkaan contohnya PATI melakukan kekerasan kepada saya atau anggota,
“Walaupun keadaan sebegitu, saya tetap menjalankan tugas demi memastikan tanah air ini sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Geram, tekong bertindak ganas
Perkara ini turut dikongsikan anggota tinjau, Koperal Azwan Mat Zin yang menceritakan detik-detik menangkap tekong tersebut yang cuba melawan untuk melepaskan diri.
“Ketika kejadian, saya sebagai anggota tinjau yang berada di lokasi tersebut telah menangkap kaki tekong tersebut lalu terjatuh ke dalam parit dan anggota tinjau yang lain datang membantu. Dia (PATI) meronta-ronta untuk dilepaskan,
“Semasa bergelut, saya tak fikir keselamatan saya, saya hanya fikir keselamatan angota yang lain,
“Walaupun dalam keadaan begitu, kita terpaksa beranikan diri menangkap mereka demi untuk keselamatan anggota tinjau yang lain dan keselamatan saya. Jadi, saya tawakal untuk menahan PATI itu dari meloloskan diri,” ujarnya.
Koperal Azwan juga berkata, Op Benteng ini sangat mencabar kerana mereka (anggota pasukan) terpaksa berhadapan dengan individu yang mempunyai kemahiran tertentu.
Dalam peristiwa bergelut dengan tekong, Azwan berkata, pada waktu itu beliau berasa sangat geram dan tidak berpuas hati serta ingin menangkap tekong tersebut daripada meloloskan diri.
“Kita di dalam tentera harus memupuk semangat jati diri terhadap kawan-kawan dan saling bantu-membantu. Saya terapkan di dalam jiwa untuk membantu antara satu sama lain walaupun nyawa sendiri hampir terancam,” ujarnya kepada Air Times.
Op Benteng diaktifkan sejak Mei tahun lepas bawah National Task Force (NTF) yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain ini juga bertujuan untuk memperkasa sempadan negara daripada dibolosi PATI dan mengekang jenayah rentas sempadan.
Pada masa yang sama, operasi ini bermatlamat untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang dikuartiri dibawa oleh PATI. -airtimes.my































