TAWAU, 5 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya merampas rokok seludup jenama premium yang cuba dibawa masuk ke Malaysia di perairan Tinagat Tawau, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, DSP Mohd Nazari Ismail berkata, anggota PPM yang sedang melakukan rondaan di perairan Tawau telah mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira jam 4.20 pagi.
“Bot tersebut telah memecut laju menghala ke perairan persisir pantai semasa pihak PPM menghampiri,
“Dalam pada itu, pemandu bot tersebut bertindak terjun ke laut dan berjaya melarikan diri,
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat bungkusan disyaki mengandungi rokok seludup yang cuba dibawa masuk ke Tawau,”katanya dalam kenyataan menerusi media sosial milik PPM.
Tambahnya, bot serta rokok berkenaan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya. Rampasan bot dan rokok jenis premium dianggarkan berjumlah RM 36,540.00. Kes akan dirujuk ke Jabatan Kastam untuk siasatan selanjutnya.
“PPM mengalakan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197,” ujarnya.-airtimes.my
