Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM rampas 3,500 rokok seludup bernilai RM52,500 di Sandakan

ESSCOM rampas 3,500 rokok seludup bernilai RM52,500 di Sandakan

by Nurulhuda

SANDAKAN, 15 Nov – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merampas sebanyak 3,500 bungkus rokok seludup bernilai RM52,500 yang disembunyikan di sebuah rumah kosong di Kampung Mangkalinau, semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan tersebut dilakukan oleh pasukan Tiger Platun Batalion ke-15 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat pada jam 2.30 pagi.

“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota PGA telah menemui 7 kotak besar yang dipercayai berisi rokok seludup,

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak besar berkenaan berisi 3,500 bungkus rokok seludup yang dipercayai diseludup daripada negara jiran.

“Semua rokok terbabit dipercayai cuba diseludup ke daerah ini untuk pasaran tempatan,” katanya dalam hantaran di laman sosial milik ESSCOM.

Ahmad Fuad berkata, semua rampasan yang dianggarkan bernilai RM52,500.00 telah dibawa ke balai polis Sandakan untuk tindakan selanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967.

“Namun demikian, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti dalang-dalang disebalik aktiviti penyeludupan di daerah ini”, tambahnya.

Beliau sekali lagi menegaskan, seluruh masyarakat di kawasan ESSZONE agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan termasuk menjadi ‘mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat penting terutamanya mengenai kemasukan rokok seludup mahupun PATI melalui laluan-laluan yang tidak diwartakan ataupun jalan tikus kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.

“Komunit ESSZONE juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup sama ada rokok ataupun pati ke negara ini,

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi pati termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply