Hyundai Heavy Industries (HHI) telah membangunkan siri Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) yang dikenali sebagai HDP-2200. Siri ini direka bentuk dengan menggabungkan pengalaman dan pengetahuan selama 40 tahun serta teknologi pembinaan kapal terkini yang dimiliki oleh gergasi perkapalan Korea Selatan tersebut.
Siri ini hadir dalam dua varian utama iaitu model asas HDP-2200 dan model yang dinaik taraf dengan keupayaan tempur lebih tinggi, HDP-2200+. HDP-2220+ pula merupakan asas kepada reka bentuk kapal kelas RAJAH SULAYMAN yang diterima oleh Filipina baru-baru ini.
Kedua-dua varian ini telah melalui siri ujian model serta pengukuran skala penuh, malah reka bentuknya telah menerima pengiktirafan Approval in Principle (AiP) daripada badan klasifikasi terkemuka, DNV.
Dari aspek fizikal dan kejuruteraan asas, kedua-dua kapal berkongsi dimensi dan bentuk badan kapal yang sama. Kapal ini mempunyai panjang keseluruhan 94.4 meter, lebar 14.3 meter, dan draught 3.7 meter. Dengan berat sesaran sebanyak 2,450 tan, platform ini mampu mencapai kelajuan maksimum 22 knot.
Ketahanan operasi kapal ini juga amat memberangsangkan, di mana ia mampu beroperasi selama 30 hari di laut dengan jangkauan operasi sejauh 5,500 batu nautika. Reka bentuk luaran kapal ini bersifat futuristik dengan struktur superstruktur yang “bersih” dan tertutup bagi mengurangkan Radar Cross Section (RCS) atau profil radar.

HDP-2220+ merupakan asas kepada reka bentuk kapal kelas RAJAH SULAYMAN milik tentera laut Filipina./ Foto: Philippine Navy
Manakala susun atur dalamannya telah dipermudah dan dioptimumkan untuk memberikan keselesaan atau habitability yang lebih baik kepada kru.
Varian pertama, HDP-2200, direka khusus sebagai kapal peronda untuk misi perlindungan sempadan pantai dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Fokus operasinya merangkumi tugas anti-penyeludupan, anti-lanun, bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), serta mencari dan menyelamat (SAR).
Bagi menggerakkan kapal ini, ia dilengkapi dengan sistem pendorong yang terdiri daripada dua enjin diesel berkapasiti 5,400 kW setiap satu. Aspek persenjataannya bersifat defensif dan sesuai untuk rondaan aman, merangkumi satu meriam utama 30mm, dua mesingan berat (HMG) 12.7mm, serta disokong oleh satu radar pengawasan 2D dan Sistem Navigasi Inersia.
Untuk operasi memintas, kapal ini membawa dua unit bot Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) bersaiz 7 meter yang dilancarkan dari sisi kapal.
Manakala varian kedua, HDP-2200+, merupakan evolusi yang lebih agresif dengan peningkatan ketara pada keupayaan misi dan tempur. Kapal ini direka untuk melaksanakan spektrum misi yang lebih kompleks termasuk Peperangan Anti-Udara (AAW), Peperangan Anti-Permukaan (ASuW), dan Peperangan Elektronik (EW).

Tugas kapal peronda HDP-2200 merangkumi operasi anti-penyeludupan, anti-lanun, bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), serta mencari dan menyelamat (SAR)./Foto: Hyundai Heavy Industries
Bagi menampung keperluan tenaga yang lebih tinggi, sistem pendorongnya telah ditingkatkan menggunakan enjin diesel berkapasiti 5,940 kW setiap satu, selain kapasiti penjana kuasa yang lebih besar berbanding model asas.
Perbezaan paling ketara pada HDP-2200+ terletak pada kuasa tembakannya. Varian ini dilengkapi dengan meriam utama 76mm yang lebih besar, sistem pertahanan jarak dekat (CIWS), dua pelancar peluru berpandu permukaan-ke-udara (SAM), dua pelancar decoy, dan dua stesen senjata kawalan jauh (RCWS) 12.7mm.
Keupayaan pengawasannya juga jauh lebih canggih dengan penggunaan radar pengawasan 3D, radar penjejak (Tracking Radar), sistem IFF, serta suite Peperangan Elektronik (ESM) yang merangkumi R-ESM dan C-ESM. Selain itu, HDP-2200+ mempunyai kelebihan taktikal dengan keupayaan pelancaran bot melalui stern launching (ramp belakang) untuk RHIB 9.5 meter, di samping mengekalkan satu RHIB 7 meter di sisi kapal.
Meskipun mempunyai perbezaan dari segi persenjataan, kedua-dua kapal mengekalkan fleksibiliti misi yang tinggi. Kedua-duanya direka dengan dek penerbangan dan hangar yang mampu mengoperasikan helikopter seberat 10 tan, lengkap dengan sistem pengisian bahan api siang dan malam.
Terdapat juga ruang misi modular yang boleh memuatkan dua kontena misi bersaiz 20 kaki bagi pelbagai keperluan operasi tambahan. Secara keseluruhannya, gabungan kedua-dua varian ini memperlihatkan strategi HHI dalam menawarkan platform tunggal yang boleh diadaptasi untuk pelbagai keperluan, sama ada sebagai peronda kos efektif atau kapal kombatan dengan persenjataan lengkap. -airtimes.my
#HDP-2200 #HDP-2200+ #HyundaiHeavyIndustries #OPV
