KUALA LUMPUR, 19 Nov – Luruan monsun yang membawa hujan berterusan yang sedang berlaku di timur dan selatan Semenanjung dijangka berlanjutan sehingga hujung November 2024.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Datuk Mohd Hisham Mohd Anip menerusi satu kenyataan berkata, analisis terhadap ramalan cuaca terkini menujukkan kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November sehingga 1 Disember 2024.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.” kata Mohd Hisham menerusi kenyataan.
MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengemas kini Amaran Hujan Berterusan sekiranya keadaan cuaca dijangka bertambah buruk.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. -airtimes.my
#airtimes #METMalaysia #luruanmonsun #monsun #hujan #cuaca