Ujian peluru berpandu Meteor oleh Tentera Udara Brazil baru-baru ini menjadi titik perubahan besar dalam evolusi keupayaan udara negara itu. Latihan yang dijalankan di Pangkalan Udara Natal menyaksikan pesawat pejuang F-39E Gripen berjaya melancarkan peluru berpandu di luar jarak penglihatan (BVR) untuk buat pertama kali. Kejayaan ini mengesahkan integrasi Meteor pada platform Gripen, selain menunjukkan perubahan ketara dalam kemampuan Brazil untuk beroperasi dalam pertempuran jarak jauh.
Menurut kenyataan rasmi Saab, empat pesawat Gripen E terlibat dalam latihan teknikal BVR-X berlangsung pada November lalu.
“Dua dron Mirach 100-5 yang boleh dikendalikan telah ditetapkan sebagai sasaran, yang menampilkan profil kelajuan dan ketinggian pesawat pejuang moden,” lapor pengeluar Gripen, Saab.

Ujian penembakan misil BVR Meteor oleh Gripen E Tentera Udara Brazil sekaligus meningkatkan tahap keupayaan angkatan udara negara Amerika Latin itu./ Gambar: SAAB
Data rasmi menunjukkan kedua-dua tembakan berjaya mengenai sasaran, sekali gus mengesahkan tahap integrasi sistem senjata tersebut. Ini menampilkan keupayaan sebenar pesawat generasi baharu itu.
Pengarah Urusan Saab Brasil, Peter Dölling, menyatakan bahawa kejayaan tersebut meletakkan Brazil dalam kelompok terhad negara yang mampu mengoperasikan teknologi peluru berpandu BVR paling moden di dunia.
Beliau menekankan bahawa kemampuan ini meningkatkan kesiapsiagaan Tentera Udara Brazil. Selain itu, ia mengukuhkan nilai pencegahan, terutamanya ketika berhadapan ancaman udara yang semakin kompleks.
Sementara itu, Komander Pangkalan Udara Natal, Mejar Jeneral Udara Breno Diogenes Gonçalves, dan Pengarah Latihan Teknikal pula, menggambarkan ujian itu sebagai pencapaian strategik. Menurut beliau, ujian ini bukan sahaja mengesahkan integrasi sistem, tetapi turut menilai reaksi platform dalam situasi tempur sebenar.
Gabungan Gripen E dan Meteor dilihat mampu mengukuhkan strategi pertahanan negara, serta menangkis ancaman sebelum memasuki ruang udara negara.

Walaupun tampak kecil, persenjataan yang ampuh seperti IRIS-T dan Meteor menjadikan Gripen sebagai sebuah pesawat tempur lincah dan berbisa./ Gambar: SAAB
Peranan Gripen E dalam transformasi kemampuan udara Brazil
Gripen E atau F‑39E oleh Brazil memainkan peranan utama dalam pembaharuan struktur pertahanan udara negara itu sejak mula diterima pada 2022. Pesawat ini dilengkapi radar AESA (Active Electronically Scanned Array), selain sistem peperangan elektronik dan rangkaian komunikasi taktikal moden.
Kesemua komponen ini membolehkan perkongsian data masa nyata dengan aset lain. Keupayaan itu menyediakan gambaran moden operasi yang lebih jelas kepada juruterbang dan pusat kawalan.
Pesawat ini turut menyokong pelbagai jenis peluru berpandu termasuk IRIS T bagi jarak dekat dan Meteor untuk jarak jauh. Meteor dibangunkan oleh MBDA dengan sokongan industri pertahanan Eropah. Ia dilengkapi pendorong ramjet yang memungkinnya mengekalkan kelajuan tinggi sepanjang penerbangan.
Keupayaan ini membentuk zon tanpa pelarian yang lebih luas berbanding peluru berpandu lain dalam kelas yang sama. Ini meningkatkan kemungkinan menewaskan sasaran dalam pelbagai keadaan.
Naib Presiden MBDA Jualan Eksport Amerika, Ricardo Mantovani, menyifatkan Meteor sebagai antara sistem udara ke udara paling maju hari ini. Menurut beliau, pencarian radar aktif Meteor berfungsi dengan stabil walaupun dalam persekitara peperangan elektronik yang mencabar.
Ciri ini membolehkan Meteor menjejak sasaran sehingga ke fasa akhir walaupun pesawat musuh cuba mengelak atau menganggu radar.
Kesan terhadap keseimbangan kuasa di Amerika Selatan
Amerika Selatan lazimnya tidak terlibat dalam perlumbaan senjata agresif. Namun, kejayaan Meteor secara tidak langsung mewujudkan jurang kemampuan antara Brazil dan negara jiran. Dengan ujian ini, Brazil menjadi negara pertama di rantau itu yang memiliki keupayaan BVR moden setaraf kuasa udara global.
Negara seperti Argentina, Chile dan Colombia memiliki aset udara yang berbeza, tetapi belum mempunyai peluru berpandu jarak jauh yang setanding dengan Brazil. Situasi ini memberi kelebihan pencegahan baharu kepada Brazil. Ancaman udara berpotensi dikesan lebih awal, sekali gus meningkatkan peluang untuk bertindak sebelum ruang udara negara diceroboh.
Kejayaan ini turut meningkatkan kedudukan Brazil sebagai rakan strategik penting dalam latihan udara serantau. Kemajuan teknikal membuka ruang kerjasama lebih luas, khususnya dalam operasi yang melibatkan pesawat generasi baharu.

Penglibatan Brazil dalam projek pembangunan Gripen E/F bersama Sweden memberikan kelebihan tersendiri kepada pertahanan dan industri negara Amerika Latin itu. /Gambar: SAAB
Evolusi teknologi dan pembangunan industri pertahanan Brazil
Program Gripen E memberi kesan besar terhadap industri pertahanan tempatan. Pada 2013, Brazil memesan 36 pesawat Gripen dan mula membangunkan barisan pengeluaran pertama di luar Sweden pada 2023 di fasiliti Embraer di Gavião Peixoto.
Langkah ini membuka peluang kepada jurutera tempatan untuk terlibat dalam pembangunan, penyelenggaraan dan integrasi sistem persenjataan.
Proses pemindahan teknologi merangkumi latihan teknikal, pembangunan avionik, aerodinamik dan penghasilan komponen pesawat. Ini mengurangkan kebergantungan luar dalam jangka panjang serta meningkatkan keupayaan industri nasional untuk menyokong operasi Gripen secara berdikari.
Perkembangan ini menjadi bukti bahawa Brazil sedang menuju status kuasa pertahanan yang lebih matang. Ujian Meteor bukan sahaja menunjukkan kelebihan taktikal, tetapi turut membawa kesan strategik terhadap keseimbangan keselamatan serantau.
Dengan kemampuan baharu ini, Brazil berada pada kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi cabaran udara moden dalam era persaingan teknologi yang semakin kompleks. – airtimes.my
#Airtimes #GripenE #F-39E #BVR #peluruberpandu #Saab #AS #tenteraudara #Brazil
