Perdana Menteri menegaskan, kerajaan PH telah mendatangkan banyak kebaikan kepada negara ini dan masih banyak perkara juga perlu dilakukan.

“Ada banyak perkara perlu dilakukan. Tidak hanya dalam 100 hari. Kita bekerja berterusan untuk beberapa PRU akan datang.

“Kita akan terus melakukan banyak perkara baik untuk negara ini, tidak hanya 100 hari tetapi 1,000 hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai kerajaan PH lebih menumpukan usaha membasmi rasuah berbanding perkara-perkara lain, Dr. Mahathir berkata, kerajaan PH telah melakukan banyak perkara, cuma perkara-perkara berkenaan tidak ditanya oleh para pemberita.

“Kerajaan buat banyak perkara tetapi pemberita tidak bertanya. Mereka lebih berminat pembasmian rasuah seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL ), jadi kita beri jawapan.

“Jika kamu bertanya apa lagi kita lakukan, saya boleh beritahu kamu banyak,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya pemberita mengenai kemungkinan beberapa projek lain dengan China akan dibatalkan, Dr. Mahathir berkata, beberapa projek mungkin ditangguhkan kerana langkah pembatalan akan mengakibatkan kerugian kepada kerajaan berikutan pampasan daripada perjanjian.

“Apa yang mustahak adalah untuk menyelamatkan wang. Kerajaan terdahulu telah meminjam banyak, kalau kita tidak kurangkan, kita akan bankrap,” katanya.