Maklumat berhubung projek terbabit telah dipersetujui ketika sidang kemuncak kedua-dua negara pada bulan lalu di Pyongyang antara pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Korea Selatan, kedua-dua pihak bersetuju menghapuskan kesemua periuk api di Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) di Panmunjom dalam tempoh 20 hari akan datang.

Tiada pengesahan segera dari Korea Utara sama ada tenteranya sudah menjalankan kerja-kerja menghapuskan periuk api atau belum.

Perjanjian itu turut melibatkan pemindahan pondok pengawal dan senjata dari JSA serta tentera yang masih berada di sana tidak akan menggunakan senjata.

JSA merupakan satu-satunya kawasan di sepanjang Zon Bebas Tentera (DMZ) di mana tentera kedua-dua negara berada selain tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada sidang kemuncak pertama kedua-dua negara, Seoul dan Pyongyang menyatakan niat untuk menjadikan DMZ sebagai zon keamanan.

Kedua-dua negara telah membuka pembesar suara propaganda dan memin­dahkan sesetengah pondok pengawal di sepanjang sempadan. – REUTERS