Home Pertahanan dan Keselamatan Jaga pesakit COVID-19 umpama keluarga sendiri – Petugas kesihatan HAT Tuanku Mizan

Jaga pesakit COVID-19 umpama keluarga sendiri – Petugas kesihatan HAT Tuanku Mizan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=fxSnA_SQkyg[/embedyt]

 

KETIKA WABAK COVID-19 sedang memuncak dalam negara, pesakit COVID-19 merupakan antara yang pertama terkesan secara langsung akibat penyakit merbahaya ini.

Demi mengelakkan penularan wabak di dalam komuniti, pesakit COVID-19 terpaksa diasingkan dari masyarakat, termasuk ahli keluarga dan orang tersayang.

Bayangkan keadaan mereka yang terpaksa bersendirian tatkala menghadapi cubaan dan dugaan yang amat besar.

Sudah tentu tiada siapa yang mahu dijangkiti COVID-19 kerana ramai yang tahu akan kesannya.

Akan tetapi, berseorang dalam saat mencabar sebegini sudah tentu memeritkan keadaan para pesakit.

Selain berhadapan dengan gejala penyakit, mereka turut mengalami tekanan emosi kerana terpaksa bersendirian di saat menghadapi dugaan yang begitu berat.

Para petugas perubatan menjadi nadi kepada pesakit untuk tabah dan cekal dalam menghadapi ujian yang besar ini. Di mata masyarakat, tugas mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa para pesakit.

Namun, sebaliknya ianya lebih daripada itu.

Ibarat berhadapan dengan ahli keluarga yang sedang sakit

“Setiap pesakit sememangnya memerlukan rawatan daripada kita (petugas kesihatan) bukan sahaja rawatan tetapi sokongan emosi,

“Jadi, petugas kesihatan akan ibaratkan mereka ini seperti keluarga kami sendiri ketika berhadapan dengan pesakit,

“Oleh itu, saya akan sentiasa pastikan petugas-petugas kesihatan sama ada dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus bersemangat dan sentiasa sabar ketika berhadapan dengan pesakit,

“Bayangkan pesakit itu salah seorang daripada keluarga kita, takkan kita nak biar macam tu sahaja. Satu hari nanti keluarga kita akan masuk hospital dan akan mengalami sakit-sakit yang macam ni. Sudah tentu kita nak orang bantu keluarga kita macam tu,” luah Noraida Mohd Kassim, 54, kepada Air Times baru-baru ini.

Petugas kesihatan akan ibaratkan pesakit COVID-19 ini seperti keluarga kami sendiri ketika berhadapan dengan pesakit – Ketua Penyelia Jururawat Markas HAT Tuanku Mizan, Noraida binti Mohd Kassim. Foto: AirTimes/Danish

Beliau merupakan antara petugas perubatan yang menyahut seruan negara untuk berbakti di Zon Pengurusan Bencana (Disaster Management Zone, DMZ) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

DMZ HAT Tuanku Mizan diaktifkan pada 9 Julai lalu bagi menampung keperluan merawat pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 yang meningkat secara mendadak.

Petugas perlukan sokongan moral

Noraidah yang berasal dari Melaka telah berkhidmat sebagai Ketua Penyelia Jururawat Markas di HAT Tuanku Mizan sejak 3 tahun lalu dan kini ditugaskan di DMZ bagi membantu fasaliti ATM merawat pesakit COVID-19.

Sebagai penyelia, tugas Noraidah bukan sahaja memastikan peralatan perubatan mencukupi dan berfungi dengan sebaik mungkin sebelum menerima pesakit, malah beliau juga perlu menentukan para petugas dibawah kelolaanya dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna tanpa masalah sampingan.

Beliau berkata, setiap jururawat yang bertugas perlu sentiasa berfikiran positif dan sabar dalam berhadapan dengan pesakit yang tidak tahu asal usulnya.

“Saya kena pastikan perjalanan hospital ini berjalan dengan lancar dan saya kena bagi moral support kepada staf-staf saya terutamanya,

“Saya tak nak moral staf-staf saya jatuh disebabkan penat bekerja. Sekurang-kurangnya kita sebagai ketua kita turun padang sekali mungkin memberi semangat kepada mereka untuk lebih kuat bekerja,

“Saya terpaksa buat cara macam tu sebab taknak staf-staf saya mengalami tekanan melampau (burnout),” katanya.

Tinggalkan keluarga demi merawat pesakit

Ibu kepada 2 orang cahaya mata ini turut meluahkan rasa sedih apabila melihat para petugas kesihatan yang terpaksa berkorban masa siang dan malam bekerja untuk membantu pesakit COVID-19.

“Kami (petugas kesihatan) sentiasa mementingkan pesakit. Kalau kita rasa kekurangan, terbeban dengan terkurung di rumah dan tidak boleh kemana. Bayangkan petugas-petugas kesihatan seperti kami yang terpaksa bekerja dari pagi sampai malam meninggalkan keluarga,

Petugas kesihatan sentiasa memakai pakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) sepajang mengendalikan pesakit COVID-19. Foto: AirTimes/Danish

“Kami terpaksa berjauhan dengan keluarga, tak dapat balik rumah berhari-hari, berkorban untuk pesakit demi menyelamatkan nyawa,

“Cuba fikirkan macam mana kami terpaksa meninggalkan keluarga untuk membantu pesakit-pesakit tidak kira masa pagi petang siang malam,

“Staf-staf saya pun dah memang penat, dah memang tak mampu tetapi kerana ingin menyelamatkan nyawa pesakit, kami tetap bekerja dengan sebaiknnya,” ujarnya.

12 jam Petugas Kesihatan pakai PPE

Pada masa yang sama, Noraidah tidak menafikan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan petugas kesihatan kini sudah ‘lesu upaya’ setelah setahun lebih berperang dengan pandemik yang telah melanda seluruh dunia ini.

“Memang semua petugas kesihatan kita dah mengalami keadaan sebegitu (lesu upaya). Bayangkan kalau dah 12 jam mereka bekerja dengan berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) sudah tentu mereka berasa panas dengan pakaian tersebut,

Petugas kesihatan ketika menerima kumpulan pesakit pertama di Disaster Management Zone, DMZ) Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Jumaat lalu. Foto:AirTimes/Danish

“Dengan kawasan sini yang memang panas, persekitaran kita ni memang di tempat letak kereta takda penghawa dingin hanya kipas sahaja,

“Boleh bayangkan kalau petugas kita memakai PPE selama 12 jam untuk merawat pesakit, silap-silap kita orang yang pengsan,

“Sebab tu pihak hospital tak kira KKM atau ATM kami sentiasa bersiap sedia, sentiasa dalam kesiagaan untuk menerima pesakit-pesakit COVID-19,” tambahnya.

Terus patuhi SOP, fikirkan keluarga dan kami semua

Beliau turut menyeru orang ramai untuk terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan agar kekal duduk rumah dan melakukan kuarantin kendiri untuk sama-sama mengekang penularan wabak pandemik ini.

“Saya mohon sangat kepada semua masyarakat kat luar tolonglah bagi kerjasama, fikirkan keluarga, tolong fikirkan kami para petugas kesihatan yang dah memang penat dan keletihan serta kelesuan,

“Jadi, kepada semua masyarakat, saya merayu sangat-sangat tolonglah ikut, tolonglah jaga diri sendiri dan keluarga sendiri,

“Tolonglah prihatin dengan kami petugas kesihatan ini yang sentiasa bekerja tanpa mengenal erti penat lelah dan bertungkus lumus untuk membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply