Home Pertahanan dan Keselamatan 36 paramedik tentera bantu urus DMZ HATTM – Komander Operasi

36 paramedik tentera bantu urus DMZ HATTM – Komander Operasi

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=i6JIEym7AAY[/embedyt]KUALA LUMPUR, 12 Jul – Seramai 36 paramedik tentera telah ditugaskan di Zon Pengurusan Bencana (Disaster Management Zone, DMZ) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM).

Komander Operasi DMZ HATTM, Kolonel Dr Mohd Mansor Shariff berkata, pihaknya telah menerima bantuan anggota perubatan tentera dari Lumut dan Terendak bagi membantu melancarkan pengoperasian DMZ tersebut.

Seramai 36 paramedik telah ditugaskan dan dijangka penambahan anggota akan dibuat dari semasa ke semasa – Komander Operasi DMZ HATTM, Kolonel Dr Mohd Mansor Sharrif. Foto: AirTimes/Danish

“Pihak kami telah menerima bantuan anggota perubatan dari Hospital Angkatan Tentera (HAT), Kem Terendak dan HAT Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut,

“Seramai 36 paramedik telah ditugaskan dan dijangka penambahan anggota akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya kepada AirTimes baru-baru ini.

Dr Mohd Mansor menambah, persiapan DMZ HATTM telah dilakukan dalam masa 2 hari sebelum ia diaktifkan sepenuhnya pada Jumaat lalu.

Anggota tentera melaksanakan persiapan DMZ HATTM dalam masa 2 hari sebelum ia diaktifkan sepenuhnya pada Jumaat lalu. Foto: AirTimes/Danish

“Persiapan untuk menyediakan 50 katil pesakit pada permulaan DMZ ini telah bermula pada Khamis lalu dan pada Jumaat (9 Julai) DMZ ini telah menerima kumpulan pesakit pertama dari Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR),” ujarnya.

DMZ HATTM telah diletakkan diruang parkir hospital ini yang direka khusus bagi menghadapi bencana berskala besar.

“Ruang tempat letak kereta HATTM telah diaktifkan sebagai DMZ bagi membantu hospital di kawasan Lembah Klang dalam menangani pesakit positif COVID-19 yang semakin meningkat,

“Semasa proses awal pembinaan HATTM pada tahun 2009, ruang parkir ini telah direka dan dilengkapkan dengan alat sokongan untuk dijadikan wad sebenar bagi menghadapi kes-kes bencana,

Dr Mohd Mansor menunjukkan tiang yang telah dilengkapkan dengan bekalan kuasa elektrik, sokongan bekalan oksigen dan vacuum ports. Foto: AirTimes/Danish

“Semasa pembentukan hospital ini, sebahagian kawasan telah ditandakan sebagai Disaster Management (DM) area, di mana hampir setiap tiang mempunyai tulisan DM yang mempunyai bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan bantuan sokongan perubatan lain,” jelasnya.

DMZ ini telah diaktifkan di HATTM pada Jumaat lalu bagi menampung keperluan rawatan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang.

Jumaat lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika membuat tinjauan persiapan menjelaskan, ruang parkir itu sememangnya telah digazetkan sebagai DMZ yang direka khas ketika awal pembinaan bagi menghadapi kes bencana kimia dan biologi.

Anggota perubatan sedang melaksanakan persiapan akhir sebelum menerima pesakit positif COVID-19. Foto: AirTimes/Danish

Selain itu, Dr Mohd Mansor menjelaskan, HATTM telah mula menerima pesakit COVID-19 dari kalangan anggota tentera sejak Januari 2020.

“Pihak kami menyediakan rawatan bagi pesakit positif COVID-19 dari kalangan anggota tentera,

“Sejak itu, HATTM telah menyediakan wad pesakit COVID-19 dengan kadar yang minimum untuk pesakit dari anggota tentera selain memberi bantuan serta fasaliti perubatan kepada hospital yang memerlukan,” tambahnya. -airtimes.my

Sebanyak 50 katil pesakit positif COVID-19 telah disediakan dan 100 lagi katil tambahan akan ditambah dari semasa ke semasa. Foto: AirTimes/Danish

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!