KUALA LUMPUR, 12 Jul – “Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak COVID-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, sehingga kini belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada sudah berjaya menghadapi penularan wabak pandemik COVID-19, namun tidak ada yang berputus asa.
“Kini, muncul pula pelbagai varian baru yang dikatakan paling berbahaya seperti varian Delta dan lain-lain bentuk,
“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah memberikan amaran kepada semua negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Menurutnya, pihak yang menyatakan Malaysia sudah gagal menangani COVID-19 ini disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa, sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dahulu.
“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan,
“Pasukan barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin dengan seluas-luasnya bagi menyelamatkan rakyat, serta memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama, sikap mereka terlalu berpolitiking mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan COVID-19, dianggap sebagai berpolitik.
“Walaupun pihak yang melaporkan angka statistik tersebut wajib berterus terang, tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa buah negara telah mengisytiharkan darurat secara menyeluruh atau terhad, apabila keadaan semakin parah dan mengambil tindakan yang pantas.
“Bukan sahaja menghadapi wabak, termasuk juga terpaksa berusaha untuk menyelesaikan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat,
“Dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan,
“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” tegasnya.
Selain itu, beliau berkata segala usaha dan perjuangan untuk menangani COVID-19 oleh kerajaan perlu didukung bersama tanpa berputus asa dan hendaklah tolong-menolong bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), demi menjaga nyawa seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa serta fahaman politik. – airtimes.my