Syed Saddiq berkata, sekiranya Nur Ilyani dikenakan tindakan, ini bermakna hak kebebasannya untuk bersuara telah dinafikan.

“Itu pandangan beliau dan beliau sebagai seorang rakyat Malaysia dan kita perlu terima. Sekiranya ada tindakan terhadap beliau, saya sendiri secara peribadi akan menentang.

“Tetapi setakat ini setahu saya belum ada tindakan dikenakan, hanya aduan. Jadi saya berharap Dr. Nur Ilyani tidak dikenakan tindakan. Dalam Malaysia Baharu ini semua pihak berhak bersuara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi perjumpaan dengan kepemimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MBM, Mohd. Zaidi Aziz dan Naib Presiden MBM, Ahmad Saparudin Yusup.

Baru-baru ini, satu surat terbuka yang ditulis Nur Ilyani kepada aktivis masyara­kat, Datin Paduka Marina Mahathir berhubung isu LGBT yang disiarkan di laman Facebook miliknya menjadi tular dalam media sosial.

Berikutan surat terbuka itu, dia dikatakan telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) oleh satu kumpulan yang menggesa agar Nur Ilyani dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak majikan iaitu Kementerian Kesihatan.