SRI AMAN, 2 Dis – Eksesais Keris Kartika Malaysia dan Indonesia (KEKAR MALINDO) Siri 44AB/2021 yang dilaksanakan selama 10 hari di Sri Aman, merupakan satu kejayaan dan tanda aras dalam meneruskan kerjasama serta hubungan bilateral tentera darat kedua-dua negara.
Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1Div), Major Jeneral Dato Dzulkafli Mustaffa dalam ucapan penutupan berkata, eksesias yang dijalankan pada waktu ini memberi sedikit cabaran kerana ia dianjur ketika negara masih dalam fasa pemulihan daripada penularan COVID-19.
Beliau berkata, pematuhan norma baharu sepanjang eksesais memberi sedikit cabaran kepada kedua-dua angkatan tentera namun semua yang telah disusun atur dapat dilaksana dengan lancar.
“Pelaksanaan eksesais ketika seluruh dunia masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19 memberi sedikit cabaran kerana perlu dilaksanakan mengikut norma baharu fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Namun, penganjuran eksesais ini oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) di Malaysia merupakan satu kejayaan dan tanda aras terhadap kemampuan kedua-dua angkatan tentera setelah ianya tertangguh sejak tahun 2020 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pelaksanaan aktiviti bilateral secara fizikal oleh kedua-dua negara,” jelasnya dalam hantaran di media sosial 1 Div.
Eksesais di antara TDM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang bermula pada 23 November lalu telah dijalankan di sekitar kawasan Sri Aman, Engkelili, Lubok Antu dan Semanju.
Seramai 17 pegawai dan 344 anggota pasukan Batalion ke 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) mewakili TDM manakala TNI-AD diwakili pasukan YONIF Raider 641 Beruang yang terdiri daripada 10 pegawai bersama 122 anggota lain-lain pangkat.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima 1 Div bersama Panglima Komando Daerah Militer XII/Tanjung Pura, Mayor Jenderal TNI Sulaiman Agusto S.I.P.M. pada Rabu.
Penutup eksesais dengan simulasi pertempuran serangan akhir di kawasan am Lemanak, Lubok Antu dan diakhiri dengan majlis pelucutan toha kepada Pengarah Eksesais, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff sebagai simbolik penutupan eksesais tersebut.
Galeri gambar: