Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Setiap kali Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik, ianya seolah-olah menghantar mesej kepada Korea Selatan bahawa ancaman boleh datang pada bila-bila masa.
Ancaman yang sering datang tanpa amaran itu menjadi pemangkin kepada revolusi besar-besaran dalam sistem pertahanan udara Seoul dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Peningkatan kekerapan ujian pelancaran misil dari utara mendorong Seoul untuk membangunkan KM-SAM atau Cheongung yang berdiri sebagai tunjang dan kemudian dinaik taraf kepada KM-SAM II, sebuah sistem pemintas moden yang direka bukan sekadar untuk melindungi ruang udara, tetapi juga untuk menangkis ancaman peluru berpandu balistik dengan tepat kepada sasaran.
Pembangunan KM-SAM bermula pada awal 2000-an, hasil kerjasama antara Agensi Pembangunan Pertahanan Korea Selatan dengan beberapa syarikat tempatan seperti LIG Nex1, Samsung Thales dan Hanwha dan disokong dengan teknologi Rusia melalui sistem S-350E.
Block-I atau versi asalnya direka untuk menjadi sistem pertahanan udara jarak sederhana yang melindungi kawasan strategik daripada ancaman pesawat pejuang, dron dan peluru berpandu jarak dekat. Dengan jarak pemintasan sehingga 40 kilometer dan altitud maksimum 20 kilometer, KM-SAM menjadi lapisan pertahanan penting antara sistem jarak pendek K30 Biho dan jarak jauh Patriot PAC-3.
Namun, landskap ancaman yang berubah pantas mendorong Korea Selatan untuk menaik taraf Cheongung kepada Block-II. Versi baharu ini membawa perubahan mendasar dari segi teknologi pemintasan. Berbeza dengan Block-I yang menggunakan ‘proximity fuse’ yang meletup berhampiran sasaran, Block-II menggunakan teknologi ‘hit-to-kill’ yang memusnahkan sasaran secara langsung dengan tenaga kinetik, memberikan ketepatan dan keberkesanan yang lebih tinggi terhadap ancaman berkelajuan tinggi.

Cheongung-II atau KM-SAM II. FOTO: Republic of Korea Air Force (ROK Air Force)
KM-SAM II mengekalkan jarak efektif sekitar 40 hingga 50 kilometer tetapi mampu memintas peluru berpandu balistik jarak dekat pada fasa terminal dengan altitud lebih tinggi. Sistem panduannya telah dipertingkat untuk memberikan reaksi lebih pantas dan tepat, manakala rekabentuk peluru berpandunya dioptimumkan bagi menangani sasaran yang meluncur dengan kelajuan beberapa kali ganda kelajuan bunyi.
Dalam doktrin pertahanan udara Korea Selatan, kedua-dua versi ini dilihat saling melengkapi. Block-I beroperasi sebagai perisai udara jarak sederhana untuk menangkis ancaman aerodinamik, manakala Block-II menjadi komponen kritikal dalam rangkaian Korea Air and Missile Defense (KAMD) bersama sistem THAAD dan Patriot PAC-3. Pendekatan berlapis ini memastikan sebarang ancaman dari udara sama ada pesawat atau peluru berpandu berdepan risiko tinggi untuk dipintas sebelum mencapai sasaran.
Kejayaan Cheongung Block-I telah menarik minat pasaran antarabangsa, dengan United Emiriah Arab (UAE) menjadi pelanggan pertama dari luar negara. Keupayaan ini turut membuka laluan kepada KM-SAM II untuk menembusi pasaran eksport, khususnya bagi negara-negara yang memerlukan sistem pertahanan udara berprestasi tinggi tetapi pada kos penyelenggaraan yang lebih kompetitif berbanding sistem buatan Barat.
Evolusi sistem KM-SAM kepada KM-SAM II mencerminkan pendekatan Korea Selatan yang berpandangan jauh. Mereka bukan sekadar membangunkan sistem baharu, tetapi menyesuaikannya dengan ancaman semasa sambil memanfaatkan infrastruktur sedia ada. Ini memberi kelebihan dari segi kos, masa dan keserasian operasi, di samping meningkatkan keyakinan tentera untuk menghadapi senario sebenar.
Dengan pembangunan yang berterusan termasuk kemungkinan integrasi teknologi baharu dalam menangani ancaman peluru berpandu hipersonik, Cheongung dijangka kekal sebagai salah satu tiang utama pertahanan udara Korea Selatan dalam dekad akan datang. Evolusi ini bukan sekadar peningkatan teknikal, tetapi juga lambang kesediaan Seoul untuk memastikan ruang udara negaranya kekal terlindung dalam dunia yang semakin berisiko. -airtimes.my
#AirTimes #KoreaSelatan #KMSAM #Cheongung #BlockII #SistemPertahanan #PeluruBerpandu #TeknologiKetenteraan
















