KUALA LUMPUR, 15 Jan – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima kumpulan pertama 4 buah bot pemintas laju (Fast Interceptor Craft, FIC) G2000 MkII daripada syarikat tampatan, Gading Marine Industry Sdn Bhd.
Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) memaklumkan, keempat-empat aset tersebut telah diserahkan oleh pihak Gading Marine kepada Markas Armada TLDM Wilayah Timur di Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut sumber, 4 buah FIC G2000 MkII yang diserahkan pada Jumaat lalu itu adalah sebahagian daripada 13 buah bot laju yang bakal diperolehi oleh TLDM.
Difahamkan, majlis penerimaan secara rasmi pula dijangka diadakan pada bulan Februari depan yang bakal menyaksikan bot ini dioperasikan secara rasmi di perairan Sabah.
Bot G2000 MkII ini merupakan versi ketiga dari keluarga bot Siri G2000 yang dibina oleh syarikat Gading Marine.
2 unit versi pertama iaitu FIC G2000 sebelum ini telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2019, manakala versi kedua pula iaitu 6 unit FIC G2000 Mk1 telah diserahkan kepada TLDM pada 2021.
Lanjutan daripada prestasi cemerlang yang ditunjukkan FIC G2000 MkI sepanjang penugasan di bawah OP BENTENG, Kerajaan Malaysia pada tahun 2022 telah meluluskan permohonan TLDM bagi tambahan 13 buah lagi bot dari Gading Marine.
Versi terkini ini G2000 MKII mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi melalui sistem pendorong yang lebih berkuasa, dilengkapi dengan sistem persenjataan Remote Control Weapon Station (RCWS) berkaliber 12.7mm dan beberapa penambahbaikan susunatur dalaman bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru.
FIC ini boleh digunakan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing.
Dengan kelajuan sehingga 50 knot, ia mampu memintas mana-mana bot yang menceroboh perairan negara dalam masa yang singkat.
Ia juga berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutamanya kepada kapal TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pemintasan di perairan cetek dan berpulau.
Difahamkan juga, pembekalan kesemua 13 unit FIC G2000 MKII ini kepada TLDM dijangka diselesaikan pada September 2024.
Kejayaan Gading Marine menyiapkan bot-bot ini menunjukkan syarikat tempatan masih mempunyai kemampuan sebagai penyedia aset pertahanan negara.
Walaupun bukan membina kapal perang tetapi Gading Marine menepis stigma tentang tanggapan sesetengah pihak pada industri tempatan.-airtimes.my
#pertahanan #TLDM #GadingMarine #FIC #airtimes






