Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut EKSESAIS TAMING SARI uji kesiagaan armada TLDM kendali persenjataan peluru berpandu

EKSESAIS TAMING SARI uji kesiagaan armada TLDM kendali persenjataan peluru berpandu

by Nurulhuda

LUMUT, 5 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengadakan Eksesais TAMING SARI Siri 22 Tahun 2023 (Eks TAMING SARI 22/23) bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi warganya.

Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, eksesais yang bermula sejak semalam hingga 16 Disember ini menggunakan konsep penembakan misil Exocet MM40 salvo size two oleh 2 buah kapal penembak iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR di utara perairan Selat Melaka.

Selain penembakan misil, Eks TAMING SARI 22/23 turut menguji keupayaan aset-aset lain yang terlibat.

“Sebanyak 14 buah kapal, 8 bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terlibat untuk menjayakan eksesais ini,” jelas MPA Barat menerusi hantaran di laman media sosialnya, hari ini.

Majlis perasmian eksesais tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Fadhil Abdul Rahman di Auditorium Zain, Pusat Taktikal Maritim (PUSTAKMAR), Pangkalan TLDM Lumut pada Isnin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, seiring dengan lanskap geo-strategik yang semakin mencabar ketika ini, amat penting untuk Armada TLDM kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim.

“Berharap agar melalui Eks TAMING SARI 22/23 akan mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM sekaligus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring di arena pertahanan maritim, kredible dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara,

“Selain itu, kesemua peserta eksesais diingatkan agar sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dan mempamerkan tahap profesionalisme yang terbaik bagi menjayakan penembakan misil pada kali ini,” katanya lagi.- airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TLDM #latihan

Related Articles

Leave a Reply