SANDAKAN, 6 OKT – Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) kekal sebagai benteng utama pertahanan maritim negara di Sabah yang meliputi kawasan strategik Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa markas tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan serta kawalan keselamatan perairan negara di wilayah timur Sabah terus berada pada tahap tertinggi.
Menurut beliau, lawatan kerja hari kedua ke MAWILLA 2 hari ini memberi ruang untuk menilai secara langsung keupayaan operasi dan tanggungjawab Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mempertahankan kepentingan maritim negara.
“Lawatan ini memberi peluang kepada saya untuk melihat sendiri peranan strategik MAWILLA 2 sebagai benteng utama pertahanan maritim negara di Sabah. Saya turut berpeluang berbincang dan mendapatkan input daripada pegawai TLDM berhubung kesiagaan serta operasi mereka dalam memastikan keselamatan perairan negara,” katanya menerusi kenyataan di media sosial rasminya hari ini.
Beliau turut menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kemajuan projek pembinaan Jeti MAWILLA 2, yang kini mencapai tahap 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.
Khaled menjelaskan bahawa jeti baharu itu akan memperkukuh keupayaan operasi TLDM, termasuk aspek rondaan, kawalan keselamatan dan kecekapan logistik di wilayah berkenaan.
“Kementerian Pertahanan bersama TLDM akan terus memantau kemajuan setiap fasa projek agar ia berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual, demi keselamatan perairan negara,” katanya.
Lawatan kerja beliau turut disertai pegawai kanan TLDM serta wakil Kementerian Pertahanan bagi meninjau tahap kesiapsiagaan aset pertahanan di kawasan Sandakan dan perairan timur Sabah. – airtimes.my
#AirTimesNews #PertahananKeselamatan #MAWILLA2 #TLDM #Sabah





