TEL AVIV, 10 OKT – Pertubuhan guaman hak asasi Israel, Adalah, memaklumkan pihaknya menghadiri lebih 50 prosiding tribunal membabitkan peserta flotilla di Penjara Ktzi’ot semalam serta menziarahi beberapa tahanan lain.
Menurut Adalah, peguam mereka terus menerima laporan mengenai tindakan agresif dan ganas oleh pihak berkuasa Israel semasa dan selepas pemintasan flotilla berkenaan. Menurutnya, antara yang dilaporkan adalah keadaan tahanan yang daif serta kekurangan akses kepada air minuman.
“Beberapa peserta mendakwa mereka menjadi mangsa penderaan fizikal dan lisan. Prosiding turut dimulakan tanpa kehadiran peguam, manakala lebih 20 peserta masih belum dapat bertemu dengan peguam mereka,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Adalah turut mewakili tiga peserta yang mempunyai kewarganegaraan Israel, termasuk rakyat berstatus dwi-warganegara, di Mahkamah Majistret Ashkelon. Mereka disoal siasat dan ditahan semalaman atas dakwaan menceroboh kawasan tentera tanpa kebenaran.
“Pihak polis memohon sambungan tahanan selama tujuh hari namun mahkamah mencadangkan pembebasan dengan syarat ketat termasuk larangan memasuki Gaza selama enam bulan dan bon jaminan berjumlah 4,000 Shekel Israel (kira-kira AS$1,230),” jelas Adalah.
Ketiga-tiga peserta tersebut menolak syarat itu kerana dianggap tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa. Menurut Adalah, penahanan mereka berlaku di perairan antarabangsa kira-kira 120 batu nautika dari Gaza, dan dakwaan menceroboh kawasan tentera adalah tidak berasas walaupun berdasarkan undang-undang domestik Israel.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, mereka mempunyai hak jelas untuk memasuki Gaza. Penahanan yang berterusan di bawah alasan sedemikian adalah pelanggaran nyata terhadap hak asasi manusia,” tegas Adalah sambil menambah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat. – airtimes.my
#AirTimesNews #Global #Adalah #FreedomFlotilla #Gaza #Israel #Palestine


