SUBANG, 18 DIS – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyasarkan proses tender bagi perolehan Sistem Pertahanan Udara Aras Sederhana atau Medium Range Air Defence (MERAD) akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Panglima TUDM, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, program MERAD telah diluluskan dan kini berada dalam fasa awal perancangan serta penilaian.
“MERAD memang telah diluluskan dan TUDM sedang melaksanakan proses berkaitan perolehannya. Ketika ini, kita berada dalam fasa Request for Information bagi melihat tawaran yang tersedia kepada TUDM,” katanya.
Beliau menjelaskan, proses RFI dilaksanakan di bawah perancangan pembangunan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh terhadap sistem yang ditawarkan, termasuk dari segi keupayaan dan spesifikasi.
“Daripada proses ini, kita akan menilai spesifikasi, Request for Quotation serta keperluan maklumat untuk sebut harga. Semua proses ini sedang dilaksanakan,” katanya lagi.
Menurut beliau, TUDM berharap proses tender bagi program MERAD dapat dimulakan pada tahun hadapan, tertakluk kepada kelancaran semua peringkat penilaian yang sedang berjalan.
Kenyataan tersebut dibuat semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2025 yang berlangsung di Subang, hari ini.
Perolehan MERAD merupakan antara keupayaan kritikal dalam usaha memperkukuh pertahanan udara negara, khususnya bagi membina sistem pertahanan udara berlapis yang lebih bersepadu dan berkesan. – airtimes.my
#AirTimes #Semasa #TUDM #MERAD #PertahananUdara #ATM #KeselamatanNegara #PertahananNegara


















