KUALA LUMPUR, 7 JAN – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menyampaikan peringatan tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) yang baharu agar nilai integriti dan amanah dijadikan teras kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kekuatan sebenar angkatan darat bukan sekadar bergantung kepada aset dan keupayaan ketenteraan, sebaliknya berpaksikan kepimpinan berintegriti serta kepercayaan rakyat.
Sultan Ibrahim bertitah rasuah merupakan ancaman terbesar kepada kredibiliti angkatan pertahanan negara. Baginda menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima dalam organisasi ketenteraan.
“Rasuah adalah musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan. Sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali,” titah Baginda.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa budaya integriti perlu bermula dari peringkat tertinggi kepimpinan. Baginda menegaskan PTD memikul tanggungjawab besar untuk menjadi contoh teladan dalam memastikan tadbir urus yang bersih, telus dan bertanggungjawab diamalkan di semua peringkat TDM.
Menurut Baginda, kepimpinan yang berasaskan integriti akan memastikan TDM terus dihormati serta diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan profesional yang berwibawa dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim sekali lagi membangkitkan kebimbangan terhadap kewujudan orang tengah atau ejen dalam urusan berkaitan Kementerian Pertahanan. Baginda menegaskan amalan tersebut tidak wajar dibenarkan kerana boleh menjejaskan integriti sistem pertahanan negara.
“Saya telah beberapa kali menegaskan tentang orang tengah atau ejen dalam Kementerian Pertahanan. Golongan ini tidak sepatutnya dibenarkan masuk,” titah Baginda.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman di Istana Bukit Tunku, hari ini. Jeneral Datuk Azhan telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan telah diperkenankan oleh Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #YDPAgong #IstanaNegara #TDM #ATM

















