KUALA LUMPUR, 16 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah kapal tangki yang sedang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tajung Piai, Johor, pada Isnin lalu.
Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan tersebut dibuat oleh kapal ronda APMM menerusi Operasi Jaksa sekitar jam 10.30 pagi dikedudukan 4.2 batu nautika Tenggara Tanjung Piai.
“Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat enam kru termasuk Nakhoda kapal berada diats kapal tersebut,
“Kesemua mereka yang ditahan berumur di antara 22 hingga 53 tahun yang merupakan warga Indonesia dan mempunyai pengenalan diri yang sah,
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut tidak mempunyai kebenaran bersauh di dalam perairan Malaysia dan berdaftar di Republik Guinea Khatulistiwa,” katanya.
Menurut Nurul Hizam, kesemua mereka telah ditahan untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di bawah Seksyen 491B (1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Jika didapati bersalah, pemilik dan nakhoda boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,
“Kepada pemilik dan nahkoda kapal diingatkan supaya mendapat kebenaran pihak berkuasa Malaysia sebelum membuat apa-apa aktiviti di perairan Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil,
“Maritim Malaysia menerusi Maritim Negeri Johor akan sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Negeri Johor menggunakan segala sumber yang ada serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara,” ujarnya.-airtimes.my