Home Semasa PAS terima RM90 juta duit 1MDB, rakyat mahukan kebenaran – Arshad Raji

PAS terima RM90 juta duit 1MDB, rakyat mahukan kebenaran – Arshad Raji

by Pasri Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Persatuan Patriot Kebangsaan menegaskan bahawa rakyat Malaysia menuntut kebenaran ke atas penyelesaian di luar mahkamah kes saman presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak report, Clare Rewcastle-Brown.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata walaupun kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah, tetapi tuduhan Brown bahawa RM90 juta telah dibayar kepada para pemimpin adalah PAS kekal.

“Ini termasuklah rakaman audio Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang bercakap tentang menerima RM2 juta dari UMNO, yang telah diajukan sebagai bahan bukti oleh Brown dan tidak dicabar oleh (Abdul) Hadi Awang, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata rakyat Malaysia ingin mengetahui hakikat sebenar perkara ini kerana wang yang dibayar itu didakwa diperoleh daripada dana 1MDB.

Beliau turut menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memula siasatan terhadap kes ini dan menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat untuk memfailkan laporan dengan pihak berkuasa.

“Sekalipun tiada laporan dibuat, pihak polis dan SPRM sepatutnya memulakan siasatan sendiri ke atas kes tersebut, ” katanya.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 berhubung jumlah RM90 juta yang didakwa dibayar UMNO kepada pemimpin PAS untuk meraih sokongan.

Pada 3 Feb lepas, Abdul Hadi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah apabila menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Brown serta defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply